Axiata catat kerugian bersih pada suku pertama ekoran kerugian forex

Axiata Group Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM42.97 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022.
Axiata Group Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM42.97 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022.
A
A
A

AXIATA Group Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM42.97 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berikutan kerugian pertukaran asing (forex) berjumlah RM476.9 juta, terutamanya disebabkan operasi mudah alihnya di Sri Lanka.

Kumpulan telekomunikasi itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM75.56 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata, Dialog Axiata PLC di Sri Lanka mengalami kerugian forex berjumlah RM387.4 juta terutamanya susulan pendedahan kepada dolar AS daripada pinjaman dan liabiliti dalam denominasi dolar AS.

"Sri Lanka diselubungi krisis ekonomi dan politik disebabkan impak Covid-19, potongan cukai yang signifikan dan pembayaran balik hutang negara yang besar secara kolektif menghabiskan rizab asing yang terhad di negara itu. Akibatnya rupee Sri Lanka merosot 46 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama 2022,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan terkini tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Izzaddin Idris berkata, Axiata optimis, namun berhati-hati terhadap unjurannya bagi tempoh yang berbaki tahun ini memandangkan eksternaliti mungkin berlaku dalam jangka pertengahan.

"Selain mengamalkan langkah berhati-hati dalam perniagaan sedia ada melalui kecekapan kos dan operasi, kami membuat peningkatan untuk meraih nilai daripada urus niaga kami.

"Ini melibatkan pengembangan perniagaan menara edotco di Filipina, lesen bank digital Boost dari Bank Negara Malaysia dan di Indonesia, Hipernet Indodata, dan cadangan pengambilalihan Link Net,” katanya.

Axiata berkata, ia telah meraih kecemerlangan kos melalui penjimatan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi sebanyak RM163 juta dan RM78 juta atau jumlah penjimatan RM241 juta pada suku yang dikaji. - Bernama