FGV sasar hasilkan 75,000 tan makanan haiwan tahun ini

FGV menyasarkan untuk mengeluarkan sejumlah 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini.
FGV menyasarkan untuk mengeluarkan sejumlah 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini.
A
A
A

FGV Holdings Bhd (FGV) menyasarkan untuk mengeluarkan sejumlah 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini berbanding 40,000 tan pada tahun lepas bagi menampung peningkatan permintaan ke atas daging lembu, kambing, arnab serta ayam.

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), juga telah melancarkan Alma iaitu jenama makanan haiwan berkualiti tinggi yang menggunakan isirung sawit (PKC) pada Mac tahun lepas dalam usaha pengembangan perniagaan makanan haiwan yang berkhasiat.

Bercakap kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini hari ini, Ketua Perladangan Bersepadu, Abdul Razak Aya berkata, makanan haiwan jenama Alma yang menggunakan isirung sawit itu juga 20-30 peratus lebih murah berbanding produk lain.

"Kita dapati ada penternak telah mula menukar bahan makanan untuk binatang ternakan mereka kepada produk Alma. Oleh itu, kita menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 125,000 tan makanan ternakan menjelang 2024,” katanya.

Beliau berkata, FGVIF akan meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi makanan ayam dan kini di peringkat memuktamadkan formula serta teknologi berkaitan.

"Kandungan serat dalam dedak PKC adalah tinggi dan tidak sesuai untuk ayam. Namun, ada teknologi tertentu yang sedang kita usahakan bagi membolehkannya sesuai sebagai makanan ayam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, FGV berhasrat untuk berkembang melangkaui segmen perladangan bagi mewujudkan rantaian nilai sepenuhnya.

"FGV mempunyai penternak dan ladang Felda serta mahu membantu meningkatkan lagi produktiviti di ladang-ladang ini bagi mengurangkan kos penternakan,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mampu berdikari dari segi makanan haiwan, beliau berkata ini tidak mustahil memandangkan skala terbabit masih kecil.

Kerajaan sebelum ini berkata, PKC dan usaha penanaman jagung akan menjadi alternatif kepada makanan ayam di negara ini. - Bernama