Kartel mamak: Presma bakal ambil tindakan undang-undang

Jawahar Ali
Jawahar Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar yang menyiarkan laporan bekenaan dakwaan wujudnya perniagaan kartel restoran mamak.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan menegaskan, laporan polis akan dibuat di seluruh negara bagi meminta siasatan segera dijalankan terhadap penerbitan berkenaan ekoran telah memberikan maklumat salah serta menjejaskan imej industri restoran mamak.

“Presma menafikan sekeras-kerasnya artikel yang mendakwa pemilik restoran mamak mengamalkan corak perniagaan berbentuk kartel dengan cara memberikan modal untuk peniaga lain membuka kedai makan.

“Dakwaan seperti ini adalah tidak berasas sama sekali kerana hakikatnya pemilik restoran, sama ada baru berniaga atau menambah rangkaian perniagaan dengan inisiatif dan kesungguhan sendiri, bukannya ditentukan kartel seperti digambarkan.

"Kenyataan seperti itu menjejaskan imej serta nama baik pengusaha restoran mamak yang diketahui dari segi sejarahnya sudah bertapak di negara ini sejak sekian lama,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Jawahar Ali turut mengingatkan media agar lebih berhati-hati dengan sebarang penulisan serta komentar supaya tidak tersalah fakta hingga boleh membawa kepada implikasi perundangan.

“Presma menghargai kerjasama baik rakan-rakan media yang membantu mengetengahkan peranan yang dimainkan persatuan ini dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik serta berkualiti kepada masyarakat serta pelanggan setia kami,” katanya.