X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

ASNB tangguh sementara urus niaga, perkhidmatan bermula 4 hingga 7 Jun

Gambar hiasan
A
A

SEMUA urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lain Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan ditangguhkan sementara bermula pada 4 hingga 7 Jun 2022.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, penangguhan sementara itu disebabkan oleh pemindahan sistem operasinya ke sistem baharu, selaras dengan objektifnya untuk meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pelabur.

ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), menambah, tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun 2022.

Bagaimanapun, urus niaga bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 akan berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

Syarikat tersebut juga memaklumkan penangguhan urus niaga itu melibatkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen-ejen seluruh negara serta saluran elektronik dan dalam talian.

Ia termasuk portal dan aplikasi myASNB, ejeb perbankan internet iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk di cawangan ASNB serta Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Maybank dan CIMB Bank.

"Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun 2022,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah strategik untuk beralih ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi yang lebih mudah dan moden agar ASNB dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih terkini.

"Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan.

"Pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran dalam talian, boleh membuat urus niaga seawal yang mungkin agar wang tersebut dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan.

ASNB berkata, pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran tiga tiga kali dalam sebulan.

"Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja berikutnya,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!