OPR: Koperasi tidak terikat dengan peraturan bank

NOH
NOH
A
A
A

PUTRAJAYA - Sektor koperasi tidak terikat dengan mana-mana peraturan yang dibuat oleh pihak bank, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Merujuk kepada kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Noh berkata, sektor koperasi terikat di bawah aktanya sendiri iaitu Akta Koperasi 1993.

"Dari segi akta, koperasi tidak terikat dengan apa-apa (peraturan) yang dibuat oleh pihak bank,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di sini, hari ini.

Pada 11 Mei lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik, sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, KUSKOP dalam usaha mengembangkan kedai koperasi atau Coop Mart bagi membolehkan ahli koperasi menjana pendapatan, selain membantu meringankan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Sebagai langkah pertama, katanya, penyeragaman logo dan warna akan dibuat di Coop Mart seluruh negara.

"Tahun ini kita akan mulakan dengan 500 Coop Mart dahulu dan mana-mana ahli koperasi yang menyertai program ini akan diberikan keutamaan dalam pemberian subsidi, bagi penjualan barang keperluan asas pada harga lebih murah,” katanya.

Selain itu, menurutnya KUSKOP juga akan menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan (untuk Coop Mart) bagi mengelakkan peranan orang tengah.

"Kami harap pusat ini akan membeli secara langsung daripada penjual dan dihantar kepada Coop Mart secara terus,” kata Noh.

Coop Mart dilancarkan pada 15 April lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Bernama