Sekolahku SEJAHTERA pendekatan menyeluruh bentuk kemenjadian murid

Dr Mohd Radzi berkongsi konsep Sekolahku SEJAHTERA pada EWF 2022 di London. - Foto Facebook Dr Radzi
Dr Mohd Radzi berkongsi konsep Sekolahku SEJAHTERA pada EWF 2022 di London. - Foto Facebook Dr Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang meletakkan komponen pembelajaran emosi dan sosial (SEL) dilihat sebagai pendekatan menyeluruh dalam membentuk kemenjadian murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keutamaan pendidikan tidak seharusnya memfokuskan kepada aspek atau komponen tertentu sahaja.

"Semalam telah berlangsung sesi Ministerial Exchange bagi Education World Forum (EWF) 2022. Saya bersama beberapa ahli panel yang lain telah membincangkan topik bertajuk 'Should social and emotional learning (SEL) come first?'

“Dalam pembentangan saya menjelaskan bahawa kita tidak seharusnya memberi keutamaan hanya kepada aspek atau komponen tertentu dalam pendidikan anak-anak.

“Apa yang paling penting adalah untuk kita mencari pendekatan seimbang dalam semua aspek pembelajaran termasuk SEL,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Terdahulu Mohd Radzi menyertai Forum Dunia Pendidikan (EWF) 2022 yang berlangsung selama tiga hari London, United Kingdom bagi berkongsi pengalaman Malaysia menguruskan sektor pendidikan semasa dan pasca Covid-19.

Forum berkenaan turut dihadiri delegasi seluruh dunia termasuk menteri dan pakar pendidikan.

Dalam pada itu Mohd Radzi berkata, penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara semula jadi mampu melahirkan generasi pewaris negara yang hebat.