Polis rakam keterangan Adam Adli

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan sempena memperingati Hari Al-Quds di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini pada 29 April lalu.

Adam Adli bersama peguamnya, Muhammad Kamil Abdul Munim tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11 pagi Rabu.

Muhammad Kamil berkata, Adam Adli telah memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak polis sepanjang proses soal siasat dijalankan.

"Proses soal siasat dijalankan dalam tempoh kira-kira 30 minit. Saya difahamkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Adam Adli di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan juga peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 13 Mei lalu, media melaporkan Tian Chua telah dirakam keterangan di IPD yang sama berhubung perhimpunan itu.

Pada 29 April lalu, himpunan dikenali Hari Al Quds itu dihadiri kira-kira 500 orang diketuai Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu disertai beberapa aktivis politik seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Melaka, Adly Zahari; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Tian Chua, Adam Adli serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul menghantar memorandum menuntut pembebasan Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat.