Gaduh: 21 pelajar, seorang bekas pelajar ditahan

Tular video berdurasi 21 saat kelihatan sekurang-kurangnya 10 pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah menengah bergaduh.
Tular video berdurasi 21 saat kelihatan sekurang-kurangnya 10 pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah menengah bergaduh.
A
A
A

SANDAKAN - Seramai 21 pelajar dan seorang bekas pelajar ditahan pada Rabu selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan berjaya membuat tangkapan terhadap pelajar yang terlibat dalam pergaduhan itu.

"Semua pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun itu adalah dari tiga sekolah berasingan di daerah ini.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham antara mereka," katanya dalam kenyataan Rabu.

Katanya, polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 21 saat memaparkan aksi pelajar berpakaian sekolah bergaduh yang dipercayai berlaku di Jalan Elopura, Bandar Sandakan.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang sebelum video mengenai pergaduhan itu tular di media sosial.