Watson akui kurang jelas isu elaun atlet: MSN

Watson Nyambek
Watson Nyambek
A
A
A

BEKAS jaguh pecut negara, Watson Nyambek mengakui beliau tidak tahu dengan jelas mengenai isu pemotongan elaun atlet sehingga menjejaskan prestasi mereka di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan telah menghubungi Watson bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ulasannya yang disiarkan dalam sebuah laman portal berhubung isu tersebut.

"Pihak MSN telah pun menghubungi Watson sebaik artikel ini disiarkan dan bekas jaguh pecut itu mengakui bahawa beliau tidak tahu dengan jelas mengenai isu pemotongan elaun berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MSN pada masa sama menyifatkan dakwaan pemotongan elaun atlet yang kali pertama ditimbulkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim dan turut diulas Watson dalam artikel berkenaan kurang tepat dan perlu diperjelaskan.

Sebaliknya, MSN menyatakan prestasi atlet kebangsaan di Sukan SEA 2021 bukan kerana kekangan kewangan namun banyak kejohanan tidak dianjurkan atau dibatalkan oleh negara-negara penganjur ekoran daripada langkah kawalan pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 lagi.

Menurut MSN, faktor kurangnya pendedahan pertandingan di luar negara untuk atlet-atlet negara sebelum ke temasya dwitahunan di Vietnam memang diakui dan dinyatakan ketika rumusan prestasi kontinjen Malaysia, Ahad lepas.

Januari lepas, MSN telah menawarkan sambungan kontrak kepada atlet- atlet yang layak mengikuti program latihan sepenuh masa di bawah Program Podium.

"Ketika itu, ada cadangan pengurangan kadar elaun latihan kepada atlet-atlet ekoran tiadanya peruntukan khusus untuk tujuan berkenaan.

"Walau bagaimanapun, hasil inisiatif Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut disokong rakan-rakan menteri yang lain, Jemaah Menteri telah bersetuju mengembalikan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun bagi membiayai Program Podium,” menurut kenyataan itu lagi.

Justeru, MSN memaklumkan arahan pembayaran penuh elaun latihan telah dikeluarkan kepada MSN pada pertengahan Januari dan semua atlet serta-merta kembali menikmati bayaran mengikut kelayakan masing-masing.

Setiap pemenang pingat Sukan SEA menerima elaun latihan RM2,000 sebulan, diikuti RM1,500 sebulan untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 untuk gangsa.

Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang bermula 12 sehingga 23 Mei lalu menyaksikan Malaysia menduduki tempat keenam selepas memenangi 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa, sekali gus melepasi sasaran pingat 36-35-75. - Bernama