Majlis pelancaran GRS esok ditunda Sabtu ini

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Sawit Kinabalu di Kota Kinabalu.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Sawit Kinabalu di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sepatutnya berlangsung pada Khamis ditunda ke Sabtu ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan penetapan tarikh baharu itu adalah mengikut kesesuaian masa bagi majlis pelancaran berkenaan.

"Kita sudah tunda kepada 28 Mei, Sabtu (ini). Tiada sebab ditunda, cuma kita lihat masa yang lebih sesuai dengan pelancaran itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Sawit Kinabalu pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan majlis pelancaran GRS yang diumumkan akan diadakan pada Khamis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pembentukan jawatankuasa solidariti GRS-BN yang didakwa belum dibincangkan bersama BN, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada BN tidak lama lagi.

"Akan sampai nanti (akan dimaklumkan tidak lama lagi)," katanya.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar menyatakan belum ada pemakluman berhubung penubuhan jawatankuasa itu kepada BN.

Bagaimanapun, beliau secara dasarnya menerima pembentukan jawatankuasa itu demi mengukuhkan kerajaan negeri serta kepentingan rakyat Sabah.