Kurangkan cukai kertas, hapus akta kuno demi kelangsungan industri

Tan Sri Johan Jaaffar pada sesi temu bual bersama media mengenai Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 ketika di kediamannya di Bukit Gasing pada Rabu. - Foto Bernama
Tan Sri Johan Jaaffar pada sesi temu bual bersama media mengenai Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 ketika di kediamannya di Bukit Gasing pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang mempertimbangkan untuk mengkaji semula atau menghapuskan mana-mana akta kuno yang sudah tidak relevan lagi daripada diguna pakai agar pelaporan berita dan penerbitan surat khabar dapat dilakukan dengan lebih baik dan adil.

Tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, ia seiring dengan pelbagai cabaran baharu dihadapi, industri kewartawanan kini memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan untuk berada di 'gelanggang' yang sama bagi mewujudkan landasan dan ekosistem baharu bagi industri itu, agar kelangsungannya di masa depan terus terjamin.

"Saya fikir antara 2016 hingga 2018 tidak kurang 5,000 petugas media hilang kerja.

"Jadi ia mencetuskan persoalan tentang bentuk industri ini pada masa depan dan disebabkan itu, saya fikir untuk masa depan dan juga kelangsungannya, perkara paling penting dilakukan ialah mewujudkan ekosistem baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di kediamannya di sini pada Rabu.

Katanya, ekosistem itu boleh dicapai menerusi pelbagai pendekatan antaranya mengurangkan cukai ke atas kertas import yang digunakan oleh syarikat-syarikat surat khabar.

Johan berkata, langkah itu penting dilaksanakan kerana kewartawanan sudah menjadi 'sunset industry' atau industri yang sudah tidak lagi menjanjikan masa depan susulan kewujudan media sosial dan beberapa lagi cabaran lain bermula dari 2016.

Beliau berkata, selari dengan landskap kewartawanan yang sudah berubah akibat saingan luar biasa daripada internet dan media sosial, terdapat keperluan juga untuk meneliti semula kurikulum pembelajaran kewartawanan yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi.

"Ertinya kita tidak boleh mengajar pelajar-pelajar kewartawanan dengan konteks industri yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Ia harus relevan dengan keadaan hari ini termasuk menekankan tentang ‘backpack journalism’.

"Konsep ini mengkehendaki setiap wartawan terlibat dalam seluruh proses pelaporan dan penerbitan berita menggunakan aplikasi di telefon pintar mereka. Kalau dulu stesen televisyen memerlukan proses yang panjang untuk melapor dan menerbitkan berita, sekarang hanya boleh lakukan dengan aplikasi telefon!” katanya.

Mengenai Hawana 2022 yang bakal berlangsung di Melaka pada Ahad ini, beliau berkata, ia adalah satu bentuk pengiktirafan negara kepada wartawan yang sentiasa mendedikasikan diri sebagai petugas barisan hadapan untuk melaporkan berita ketika negara berdepan pelbagai krisis termasuk pandemik Covid-19.

Beliau berharap, agar penganjuran program itu berhasil melahirkan komitmen kerajaan dalam memberi ruang dan kebebasan yang berkesan kepada media dalam usahanya menjadi sebahagian sistem semak dan imbang yang terbaik bagi sistem demokrasi negara.- Bernama