Wanita derita sakit saraf jual dadih tampung keperluan kesihatan

Nur Su'aidah menjual dadih berdekatan SK Seri Iman, Chukai di Kemaman.
Nur Su'aidah menjual dadih berdekatan SK Seri Iman, Chukai di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang wanita yang menderita penyakit saraf iaitu multiple sclerosis sejak 18 tahun lalu berniaga dadih bagi mencari rezeki menampung keperluan kesihatan selain meneruskan kelangsungan hidup.

Nur Su'aidah Mohd Jaafar, 33, berniaga dadih di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, Chukai, di sini sejak tiga hari lalu kerana tidak lagi menjual burger secara kecil-kecilan selepas dua jari kaki kanannya dipotong awal Mac lalu.

Menurutnya, jari kakinya terpaksa dipotong kerana membengkak dan tidak boleh pulih seperti biasa.

"Saya dan suami hilang pendapatan sejak Januari lalu selepas suami berhenti kerja disebabkan perlu memberi tumpuan kepada saya yang sering berulang alik ke hospital untuk rawatan.

"Selepas hilang sumber pendapatan, suami kini mengambil upah memotong rumput. Kebetulan ada kawan saya yang menjual gula-gula kapas mempelawa untuk membawa saya berulang alik dan membantu mengangkat barang untuk dijual bersama di sekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Nur Su'aidah berkata, dadih yang dijualnya mengandungi empat perisa iaitu coklat, strawberi, jagung dan keladi yang dijual pada harga RM1 sebekas.

"Berniaga dekat dengan sekolah ni tak makan masa lama sebab bila budak sekolah dah balik, automatik pelanggan sudah tiada.

"Memandangkan saya hanya berkerusi roda dan tidak mampu berjalan, jadi saya tak perlu tunggu lama di situ. Biasanya saya mula jual jam 11 pagi dan akan pulang jam 1.30 tengah hari," katanya yang tidak berupaya berjalan sejak 10 tahun lalu.

Nur Su'aidah berkata, setakat ini sambutan jualan dadih diterimanya amat menggalakkan malah dia menyediakan sehingga 100 bekas dadih pada hari ketiga jualan berbanding 60 bekas pada hari pertama.

"Dengan pendapatan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan untuk membeli kapas bagi mencuci luka dan beberapa lagi barangan untuk penjagaan kebersihan pada bahagian kaki serta bahagian perut yang ditebuk untuk saluran susu," katanya.

Nur Su'aidah yang tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok, di sini merupakan penerima bantuan elaun pekerja cacat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Katanya, dia menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM450 dan digunakan untuk bayaran sewa rumah dan bantuan susu khas oleh Maidam setiap bulan.

"Saya perlu minum susu empat jam sekali sejak lima tahun lalu melalui tiub yang disambungkan ke perut. Tiub ini perlu ditukar enam bulan sekali.

"Saya sebenarnya langsung tidak boleh menelan makanan. Saya pernah cuba makan malangnya makanan itu tersekat di paru-paru menyebabkan berlaku jangkitan kuman. Selepas itu saya tidak lagi makan dan hanya bergantung sepenuhnya dengan susu," katanya.

Menceritakan penyakit yang dihidapinya itu, Nur Su'aidah berkata, dia mula didiagnos mengalami multiple sclerosis sejak berusia 18 tahun selepas sering pengsan di sekolah selain mata kirinya tidak mampu melihat.

Sejak itu, tahap kesihatannya semakin merudum di mana tangan kirinya sudah tidak mampu digerakkan termasuk lemah pada anggota badan bermula dari kepala hingga ke kaki.

Selain itu, ibu kepada seorang anak itu turut mengalami masalah sistem perkumuhan menyebabkannya terpaksa bergantung dengan ubat untuk membuang air besar serta membuang air kecil dengan menggunakan tiub setiap empat jam sekali.

Anak kedua dari empat beradik itu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman.

Multiple sclerosis atau MS ialah sejenis penyakit neurologi autoimun yang menyebabkan keradangan sistem saraf pusat di mana sistem imun menyerang mielin iaitu lapisan perlindungan yang menyelaputi serat saraf.

Serangan ini menyebabkan radang dan tisu berparut lalu menyukarkan otak menghantar isyarat kepada bahagian lain badan.