Kes gangguan seksual: Jurulatih wushu akan didakwa esok

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

KAJANG - Seorang jurulatih wushu akan didakwa di Mahkamah Seksyen Putrajaya pada Khamis atas 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan didakwa 10 pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Satu pertuduhan pula di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama atas kesalahan orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid memaklumkan, sebelum ini pengadu iaitu bapa kepada mangsa mendakwa mangsa telah mengalami gangguan seksual dilakukan oleh jurulatih wushu di rumah suspek pada 11 Februari sehingga 19 Februari lalu.

Pada Sabtu media melaporkan, mangsa yang ketakutan diugut supaya tidak berkata apa-apa, namun telah mengadu pada bapanya dan hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 10 Mei lalu.

Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya menahan suspek sekitar jam 7.50 malam pada 11 Mei.