Banjir kilat berjaya dikawal dengan baik: DBKL

Anwar (kiri) melihat CCTV di kawasan lokasi hotspot banjir.
Anwar (kiri) melihat CCTV di kawasan lokasi hotspot banjir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur susulan hujan lebat pada Rabu berjaya dikawal dengan baik dan surut dalam tempoh 30 minit.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Anwar Mohd Zain berkata, enam kawasan yang dinaiki air namun masih boleh dilalui kenderaan kecuali di Jalan Dutamas 2.

Menurutnya, DBKL telah mengambil langkah segera dengan menghantar 10 pam bagi mengepam air bertakung di Jalan Dutamas 2, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching, Jalan Ipoh Batu 3 dan Jalan Segambut.

"Beg pasir juga diletakkan di beberapa kawasan rendah seperti Sungai Bras-Bras, Jalan Parlimen, Jalan Rahmat dan Lebuh Ampang bagi mengurangkan kesan limpahan air sungai.

"Berdasarkan tindakan proaktif yang diambil, kejadian air bertakung ini dapat dikawal sebaiknya tanpa kemalangan jiwa dan kerosakan yang besar," katanya pada sidang akhbar berhubung kejadian hujan lebat pada Rabu.

Beliau berkata, seramai 300 anggota terlibat bagi mengawal aliran trafik, melakukan kerja-kerja penyuraian trafik serta memastikan aliran air dapat mengalir dengan baik.

Tambahnya, punca air bertakung antaranya disebabkan sebahagian lokasi lebih rendah daripada paras air sungai seperti di Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Segambut dan Jalan Ampang.

"Selain itu, terdapat mendapan tanah di dalam longkang tepi jalan yang menyebabkan aliran air perlahan dan tersekat seperti berlaku di Jalan Dutamas 2 dan Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching.

"Pekerja pembersihan Alam Flora telah diminta membersihkan kelodak tanah tersebut selain kontraktor projek pembinaan berhampiran lokasi berkenaan telah diberikan amaran untuk mengawal selia lokasi tapak projek bagi mengelak insiden sama berulang," katanya.

Jelasnya, tiga daripada enam lokasi dinaiki air merupakan kawasan 'hotspot' banjir kilat iaitu Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu 3 dan Jalan Segambut.

"Sementara tiga lagi lokasi lain iaitu Jalan Dutamas 2, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas) sebelum ini tidak pernah mengalami banjir kilat.

"Setakat ini sebanyak 25 lokasi 'hotspot' banjir kilat di Kuala Lumpur telah dikenal pasti," katanya.