X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

PAAB masih runding dengan Terengganu

Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan).
A
A

KUALA LUMPUR - Penghapusan hutang air luar bandar antara manfaat yang bakal diperoleh sekiranya kerajaan Terengganu menyertai Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak manfaat bakal diperoleh menerusi perjanjian itu termasuk menyelesaikan masalah kemudahan bekalan air yang uzur.

"Manfaat terbesar adalah penghapusan hutang air luar bandar sebagaimana diperoleh negeri-negeri yang telah menyertai PAAB.

"Sesetengah negeri memerlukan hampir RM1 bilion untuk meningkatkan baik pulih loji (rawatan air), paip kena tukar dan naik taraf. Sehingga kini Terengganu masih dalam bentuk pinjaman persekutuan.

"Oleh kerana kerajaan Terengganu tidak sertai PAAB, pinjaman tersebut menjadi hutang kerajaan negeri," katanya ditemui pemberita pada Majlis Raikan Aidilfitri bersama PAAB di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi PAAB, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini perbincangan bersama kerajaan Terengganu berkaitan perkara itu masih lagi berjalan.

"Antara lain, berkaitan pelan pembangunan kelestarian air negeri-negeri memerlukan penjana baharu sebab isu kita adalah isu tarif dan sebagainya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya optimis dalam usaha membawa Terengganu menyertai PAAB.

"Kita lihat, sangat positif (penerimaan Terengganu sertai PAAB). Kita akan perkukuhkan lagi dari segi tadbir urus dan perundingan.

"Bagaimanapun hak kerajaan negeri sama ada nak menyertai atau tidak," katanya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini dilaporkan belum memutuskan untuk menyertai PAAB sebagaimana negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya masih mengkaji perkara itu kerana terdapat syarat-syarat yang ditetapkan PAAB.

Beliau berkata, Terengganu memerlukan kira-kira RM1.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan bekalan air yang uzur dan sering bermasalah di seluruh negeri.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti laporan akhir bagi pembinaan loji-loji rawatan air baharu di Kelantan.

Katanya, projek di bawah pembiayaan PAAB itu bagi menampung keperluan bekalan air terawat di Pasir Puteh, Bachok.

"Dengan pembangunan loji baharu ini kita jangka boleh selesai masalah unjuran di Pelabuhan Tok Bali, Bandar Pasir Puteh dan sebahagiannya juga di hantar ke kawasan kritikal di Bachok," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!