Arab Saudi setuju teruskan 'Makkah Route' kepada jemaah haji Malaysia

Pelaksanaan inisiatif Makkah Route akan memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci. - Gambar hiasan
Pelaksanaan inisiatif Makkah Route akan memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi bersetuju meneruskan inisiatif Makkah Route atau prapelepasan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

"Pasukan Imigresen dan Kastam Arab Saudi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam.

"Jemaah haji akan terus menaiki bas ke hotel masing-masing sama ada di Madinah atau di Makkah, manakala beg mereka akan diuruskan pihak agensi dari Arab Saudi untuk dihantar ke hotel. Proses ini bukan sahaja tidak mengambil masa lama, malah memberi kemudahan yang sangat baik kepada bakal haji,” katanya pada sidang media Operasi Haji 2022 di sini, pada Rabu.

Untuk tahun ini, Syed Saleh berkata, pihak TH akan menggunakan perkhidmatan dua syarikat penerbangan bagi membawa bakal jemaah haji iaitu Malaysia Airlines Berhad dan SAUDIA Airlines (SAUDIA).

"Dua syarikat penerbangan tersebut akan menerbangkan secara sama rata setiap hari dengan penerbangan pertama akan berlepas pada 4 Jun ini,” katanya.

Syed Saleh berkata, pihak TH akan mengeluarkan surat jadual penerbangan kepada bakal haji secara berperingkat mulai minggu hadapan.

Beliau turut mengingatkan jemaah supaya melakukan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dalam tempoh 48 jam sebelum melapor diri di stesen pelepasan.

Bagi bakal haji yang positif Covid-19, katanya, mereka masih berpeluang ke Tanah Suci sekiranya sembuh sebelum tarikh penerbangan akhir, namun perlu mendapat kebenaran pelepasan daripada pegawai perubatan terlebih dahulu.

"Kami akan bantu sebaik mungkin untuk mereka pergi juga selepas selesai kuarantin. Jika tidak berpeluang pergi tahun ini, kami akan beri keutamaan pula pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pihak TH turut menyediakan pegawai dan pakar perubatan khas dari Kementerian Kesihatan bagi merawat jemaah yang positif COVID-19 ketika berada di Tanah Suci, termasuk menyediakan pusat isolasi di bilik hotel dan wad khusus. - Bernama