Kerajaan Perak tidak boleh langgar perjanjian jual beli

SAARANI
SAARANI
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak boleh sewenang-wenangnya mengekalkan tanah bagi tapak cadangan membina lapangan terbang Seri Iskandar yang telah dijual memandangkan perjanjian jual beli sudah ditandatangani.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tanah tersebut kerana penjualannya dibuat secara sah oleh pemilik tanah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurutnya, tanah tersebut sudah menjadi hak milik pihak swasta dan terserah kepada syarikat berkenaan untuk memajukannya dengan sebarang bentuk pembangunan.

"Sudah ada perjanjian jual beli bagi tanah tersebut, cuma kita mengaku bahawa syarikat berkenaan belum membayar habis. Jadi kita tak boleh tukar nama sebab itu masih atas nama PKNP.

"Tidak ada peraturan PKNP perlu dapatkan kebenaran kerajaan negeri untuk menjual (tanah), cuma apabila nak tukar nama dan hak milik, kena datang balik kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri sebab hanya MMK yang boleh meluluskan kebenaran memindah milik.

"Namun, bab penjualan terpulang kepada PKNP sebab tanah itu milik mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Perak dan Pelancaran Duta Komuniti Keluarga Malaysia Negeri Perak Tahun 2022 di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman bahawa kerajaan Perak masih boleh menyelamatkan tanah bagi tapak lapangan terbang Seri Iskandar itu daripada dijual kepada syarikat swasta.

Mengenai tindakan kaveat yang dilakukan Hamidah ke atas tanah tersebut, Saarani berkata, ia terpulang kepada mana-mana individu yang mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

Menurutnya, syarikat swasta berkenaan boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Hamidah kerana menghalang mereka membangunkan kawasan tersebut.

Pada Rabu, Hamidah dalam satu sidang akhbar menjelaskan permohonan kaveat secara peribadi ke atas tanah berkenaan sudah diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Jelasnya, tindakan itu dibuat sebagai menghalang sebarang pembangunan ke atas tanah tersebut.