Ketua balai, anggota bomba dan penguatkuasa DBKL didakwa rasuah rumah urut

mahkamah
mahkamah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima penjawat awam termasuk seorang ketua balai dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini sebentar tadi atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung operasi rumah urut 'Ops Kotaraya' tahun lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh iaitu Ketua Balai Polis Setapak, Sherman Salleh, 42; Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 35; anggota bomba Mohd. Fadzli Jamaludin, 48; dan dua penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairil Faezi Mohd. Aziz, 32; serta Qairul Redza Mohd. Hadzri, 35 mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan-pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, Rozina Ayub dan Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Sherman yang juga merupakan Penolong Penguasa Polis dan Faizal yang berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Setapak didakwa secara rasuah meminta dan menerima suapan RM3,000 daripada Gilbert Juin Anak Damu, 37.

Suapan itu sebagai dorongan untuk kedua-dua tertuduh tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap rumah urut, Angel Massage Centre di Platinum Walk yang dimiliki Redantzkl Enterprise.

Dalam pada itu, anggota bomba Mohd Fadzli pula didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan sebanyak RM500 daripada individu sama sebagai dorongan menyokong Permohonan Kelulusan Lesen Perniagaan Premis bagi Redantzkl Enterprise melalui sistem E-Lesen DBKL.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa restoran antara 5 November 2018 hingga 11 Januari tahun ini.

Dalam pada itu, dua penguatkuasa DBKL iaitu Khairi Faezi dan Qairul Redza didakwa meminta suapan wang sebanyak RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan terhadap rumah urut di Blok F-45-1 Platinum Walk, Jalan Langkawi Setapak.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuh restoran pada 3 Mei 2018.

Qairul Redza turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan meminta suapan RM58,000 daripada individu sama sebagai sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen rumah urut.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 hingga 15,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 dan 23 April untuk sebutan semula kes berserta syarat tambahan kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan sehingga kes selesai.