X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kematian 20 kucing bukan sebab khianat

Laporan penemuan 20 bangkai kucing di Bukit Keluang, Besut pada Mac lalu. Gambar kecil: Dr Anun
A
A

KUALA TERENGGANU - Kematian 20 ekor kucing yang ditemui bergelimpangan di kawasan peranginan sekitar Pantai Bukit Keluang di Besut pada awal Mac lalu bukan berpunca daripada perbuatan khianat sebaliknya disebabkan penyakit Parvovirus.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, keputusan hasil ujian makmal terhadap sampel bangkai kucing yang mati itu mendapati tiada sebarang racun ditemui pada haiwan berkenaan.

"Kita telah menghantar sampel bangkai kucing ke makmal Jabatan Kimia untuk mengesan racun yang disyaki digunakan pada haiwan ini dan JPV sekiranya ada penyakit bagi mengesahkan punca kematian semua kucing berkenaan.

"Namun keputusan ujian terhadap beberapa senarai racun tiada yang positif, manakala ujian penyakit pula mendapati wujud kesan jangkitan Parvovirus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Rabu.

Menurut Dr Anun, Parvovirus merupakan sejenis penyakit mudah berjangkit melibatkan haiwan seperti kucing dan anjing.

Beliau berkata, sekiranya haiwan tersebut tidak divaksin ia boleh menyebabkan kematian.

"Jika ada seekor kucing dijangkiti Parvovirus, ia mudah menjangkiti kucing lain dalam kawasan itu yang tidak ada imuniti dan tiada vaksin," katanya.

Pada 6 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan kakitangan sebuah universiti kecewa dan sedih apabila menemukan 20 bangkai kucing jalanan yang sering diberi makan bergelimpangan di kawasan Pantai Bukit Keluang.

Susulan penemuan itu, JPV bertindak mengambil sampel bangkai kucing tersebut dan dihantar ke makmal untuk tujuan analisis serta ujian diagnostik.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!