Kes dokumen palsu UMS: Nasib Peter Anthony diketahui esok

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony sama ada dibebaskan atau bersalah atas pertuduhan memalsukan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Mahkamah Sesyen di sini akan diketahui pada Khamis.

Keputusan di akhir kes pembelaan itu akan disampaikan oleh Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.

Ia selepas pihak pembelaan menutup kesnya pada 18 Februari, setelah memanggil tiga saksi dalam prosiding membela diri bermula pada 9 Februari lalu.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter untuk membela diri terhadap tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Azura membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada peringkat pendakwaan pula, seramai 15 saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 5 April 2021.

Antara saksi itu ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram, manakala peguam, S Devanandan mewakili Peter.