Tadabbur bantu seimbangkan ilmu agama dengan program kebajikan

Rohani (lima dari kanan) menyampaikan duit raya pada program Riang Ria Raya di Impian Ria Resort, Hulu Langat pada Rabu.
Rohani (lima dari kanan) menyampaikan duit raya pada program Riang Ria Raya di Impian Ria Resort, Hulu Langat pada Rabu.
A
A
A

HULU LANGAT - Khadijah International Waqf (L) Foundation (KIWF) menyelitkan sesi tadabbur al-Quran bagi menyeimbangkan ilmu keagamaan dengan program kebajikan yang dilaksanakan oleh organisasi tersebut.

Pengerusinya, Rohani Mohd Shahir berkata, pihaknya tertarik dengan Quran Time dan usaha dibawa Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dalam mendidik umat Islam mendalami maksud terkandung dalam al-Quran.

"Melalui tadabbur kita dapat melihat isi al-Quran dan dijadikan panduan dalam amalan, tindakan dan tingkah laku seharian kita.

"Jika al-Quran tak hidup dalam hati, kita tak dapat jadi muslim sejati iaitu setakat baca al-Quran tetapi tidak memahami maksudnya," katanya pada program Riang Ria Raya di Impian Ria Resort di sini pada Rabu.

Pada program tersebut, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani membacakan surah al-Imran ayat 92 hingga 96 disusuli sesi tadabbur selama 15 minit bersama Dr Ahmad Sanusi.

Mengulas lanjut katanya, program Riang Ria Raya menghimpunkan tujuh kumpulan yang telah menerima sumbangan pek iftar di bawah program Majlis Ilmu Khadijah 3.0 yang berjalan sepanjang Ramadan lalu.

"Selain pek iftar, Majlis Ilmu Khadijah 3.0 mengundang empat asatizah iaitu Dr Sholihah Kaswari, Fazrul Ismail, Dr Ahmad Sanusi dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki bagi sesi tadabbur surah An-Nur secara webinar selama 28 hari, Ramadan lalu.

"Surah An-Nur dipilih kerana adalah surah berkenaan wanita seperti berhijab, undang-undang keluarga dan hukum hakam.

"Sementara pada hari ini, surah al-Imran dipilih kerana ayat khusus untuk wakaf bagi orang lebih memahami mengenai wakaf yang bukan hanya tertumpu kepada surau masjid tetapi boleh diperluaskan untuk kebajikan lain," katanya.