Peneroka Felda rugi RM39,000 diperdaya Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

JEMPOL - Seorang peneroka Felda di sini mengalami kerugian RM39,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 7 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 72 tahun itu ada awalnya menerima panggilan daripada pihak LHDN dan kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Sindiket berkenaan memberitahu mangsa terlibat dengan kes pengedaran dadah sebelum diarahkan mengeluarkan duit simpanannya.

"Pada hari sama sehingga 10 Mei lepas, mangsa telah membuat pemindahan wang berjumlah RM39,000 ke dua akaun berbeza," katanya ketika mengesahkan laporan pada Rabu.

Chang Hook berkata, mangsa menyedari ditipu selepas dia diarahkan oleh sindiket berkenaan untuk membuang kesemua resit pemindahan wang yang dilakukan sebelum ini.

"Mangsa seterusnya membuat laporan polis pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.