X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Rumah ternakan tertutup mampu tingkat bekalan ayam

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Ladang ayam tertutup perlu diperluaskan sebagai langkah jangka panjang meningkatkan pengeluaran ayam dalam negara.

Pengarah Institut Kajian Perladangan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Shaufique F Sidique berkata, setakat ini lebih 30 peratus perusahaan ladang ternakan ayam tertutup telah beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, rumah ayam tertutup yang dilengkapi dengan sistem kawalan suhu dan kelembapan adalah sesuai untuk ternakan itu susulan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain menghindari lalat dan pencemaran bau.

"Haiwan ini (ayam) perlu berada dalam suhu yang bersesuaian dan selesa bagi mengelak daripada terkena sebarang jangkitan penyakit,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini berhubung isu kekurangan bekalan ayam mentah di pasaran.

Beliau berkata, dengan pertambahan ladang ternakan tertutup itu dapat membantu kekurangan bekalan ayam dalam negara yang disebabkan pelbagai faktor antaranya kenaikan harga jagung, susut nilai mata wang ringgit dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pensyarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus juga berpandangan sama dan berpendapat ladang tertutup itu juga akan meningkat pembiakan ayam selain dapat mengawal penularan penyakit.

"Jika di Malaysia ini, ayam-ayam mudah terkena jangkitan penyakit dan salah satunya adalah ‘newcastle’ atau virus sampar dan virus ini menyerang pernafasan ayam, sistem penghadaman dan saraf.

"Penternak sudah tahu kebaikan rumah ayam tertutup ini, tetapi mereka mungkin tidak dapat menyediakannya kerana kos yang sangat tinggi, jadi untuk kita mencapai 100 peratus rumah tertutup di negara ini, mereka perlu mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu dalam isu lain, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pertanian UPM, Profesor Madya Dr Juwaidah Sharifuddin berkata, langkah kerajaan memansuhkan permit import (AP) terhadap bahan makanan memberi impak positif terhadap pengguna.

"Dengan langkah itu kita akan dapat impak segera, peningkatan import makanan, penurunan harga makanan dan kebolehcapaian pengguna terhadap makanan meningkat,” katanya dalam program Selamat Petang Malaysia terbitan Bernama bertajuk 'Rasional Pemansuhan Permit Import Makanan'.

Sementara itu, peniaga di Pasar Harian Selayang, Muhammad Nor Azelan Mahmood, 43, yang ditemui berkata, bekalan ayam yang sedia ada tidak mencukupi dan beliau terpaksa mencatu bekalan bagi memberi peluang semua pembeli mendapatkan bekalan ayam.

Peniaga ayam dan daging di Pasar Basah Datuk Keramat, di sini, Abdul Talib Razali, 56, pula berkata, pihak pembekal juga terpaksa mencatu jumlah bekalan ayam untuk dipasarkan kepada peniaga.

"Kalau dahulu saya ambil bekalan ayam daripada pembekal dalam 200 kilogram sehari, kini saya hanya menerima separuh dari jumlah tersebut kerana pembekal juga terpaksa mencatu bekalan ayam kepada peniaga,” katanya. - Foto Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!