Banjir kilat di Seremban disifatkan antara terburuk

Beberapa penduduk Taman Lee Siew Joo, Seremban mengharungi banjir ke tempat selamat ekoran hujan lebat dan ribut sejak petang Selasa. - Foto Bernama
Beberapa penduduk Taman Lee Siew Joo, Seremban mengharungi banjir ke tempat selamat ekoran hujan lebat dan ribut sejak petang Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Kampung Ismail di sini menyifatkan banjir kilat yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut malam tadi antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.

Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77, berkata, kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

"Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu siren banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.

"Dua minggu lepas ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lepas, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Rabu.

Seorang penduduk Kampung Semarak, Seremban, terjejas apabila kediamannya dinaiki air akibat banjir kilat berikutan hujan lebat, petang Selasa. - Foto Bernama
Seorang penduduk Kampung Semarak, Seremban, terjejas apabila kediamannya dinaiki air akibat banjir kilat berikutan hujan lebat, petang Selasa. - Foto Bernama

Khairulnizam Ahmad, 47, pula berkata, kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.

Beliau berkata, anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor. - Bernama