X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

[VIDEO] 'Saya sedia maafkan pemuda itu'

Zainoldin menunjukkan tapak dialisisnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - "Saya sedia memaafkan pemuda itu." Demikian luah warga emas yang dipukul penunggang motosikal dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa dekat sini Ahad lalu.

Zainoldin Hussin, 60, berkata, dia bersedia memaafkan penunggang motosikal berkenaan dan sedia bertemu pada bila-bila masa sekiranya pemuda itu mahu bertemu untuk memohon maaf darinya.

"Saya anggap pemuda tersebut sebagai seorang lebih muda dari saya, sebaya dengan anak saya, jadi sebagai orang yang lebih tua, saya sedia memaafkan apa yang dia buat kepada saya.

"Namun, dari segi peruntukan undang-undang, yang itu biarlah pihak berkuasa yang mengambil tindakan, itu saya tidak boleh campur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa pada Rabu.

Menurutnya, dia sedih apabila melihat pelbagai tohmahan dan tanggapan yang dibuat pihak lain berhubung kejadian itu.

"Terus terang saya katakan, pelbagai dakwaan yang dilemparkan kepada saya, termasuk ada yang mendakwa saya mengeluarkan isyarat jari lucah kepada penunggang tersebut, ingin saya nyatakan bahawa perkara itu langsung tidak berlaku.

Zainoldin tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kejadian melibatkan dirinya dipukul pada Ahad lalu.
Zainoldin tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kejadian melibatkan dirinya dipukul pada Ahad lalu.

"Ketika kejadian saya bersama isteri dan seorang cucu. Sebagai seorang suami dan datuk, mana mungkin saya sanggup bertindak sedemikian rupa, itu hanyalah fitnah semata-mata," ujarnya.

Menceritakan mengenai detik kejadian itu, Zainoldin mengakui dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa apabila dipukul penunggang motosikal terbabit.

"Seingat saya dia terus menerus memukul saya tanpa saya sempat bertanya apa kesalahan saya sehingga diperlakukan sedemikian rupa.

"Dengan keadaan diri saya yang merupakan pesakit sedang menjalani proses dialisis, saya hanya mampu melindungi tapak dialisis saya di bahagian tangan bagi mengelakkan mengalami kecederaan ketika dipukul," katanya.

Tambahnya, terdapat juga dakwaan yang menyatakan dirinya ada memanggil beberapa individu untuk memukul pemuda tersebut.

"Ada yang mendakwa saya memanggil beberapa individu untuk memukul pemuda itu, itu saya nafikan sama sekali, ketika kejadian, saya tidak dapat berfikir apa-apa, kesakitan yang saya tanggung begitu perit.

"Malah kesan sakit akibat dipukul itu saya terpaksa tanggung sehingga kini, baik dari segi fizikal serta emosi saya sendiri," katanya.

Pada Ahad, tular video yang dimuat naik di Facebook memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa.

Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!