X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Empat kes cabul babitkan jurulatih wushu

Habibi (kanan) ketika melupuskan minuman keras di Balai Polis Alam Damai pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur sedang melengkapkan siasatan terhadap seorang jurulatih wushu yang dilaporkan mencabul dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini polis Kuala Lumpur hanya menerima dua laporan daripada mangsa di Kuala Lumpur.

"Berdasarkan siasatan, suspek berusia 30 tahun itu terbabit dalam empat kes cabul, masing-masing dua dilaporkan di Kuala Lumpur dan dua lagi di Selangor," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Alam Damai pada Rabu.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah memperdaya dengan mengajak mangsa menaiki kereta untuk bersiar-siar sebelum mengambil kesempatan mencabul mangsa di dalam kenderaan tersebut.

"Berdasarkan laporan, mangsa berusia 12 tahun mendakwa kejadian berlaku pada April lalu di Cheras manakala mangsa kedua yang berusia 13 tahun mendakwa kejadian berlaku pada tahun 2020 hingga 2022 di daerah Brickfields.

"Siasatan kes sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek sebelum ini ditahan oleh Polis Selangor sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur.

Akademi wushu berkenaan mula beroperasi sejak 2017 dengan 14 pelajar dan polis mengalu-alukan sebarang laporan sekiranya ada mangsa lain dalam kes yang sama.

Dalam perkembangan berasingan, Habibi berkata, polis turut melupuskan sebanyak 12,106 barang kes bernilai RM5.1 juta membabitkan 424 kertas siasatan sejak tahun 2014 hingga tahun ini.

"Barang kes yang dimusnahkan terdiri daripada set mesin bitcoin, set komputer, peralatan perjudian dan minuman keras manakala wang tunai berjumlah RM86,904 yang dirampas bagi kes berkenaan pula diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negara," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!