Suami isteri didakwa dera, bunuh anak saudara

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan bunuh anak saudara perempuan mereka, dua minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tiga pertuduhan bunuh anak saudara perempuan mereka, dua minggu lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri yang disyaki membunuh anak saudara perempuan mereka dan mendera adik lelaki mangsa didakwa di Mahkamah Ipoh pada Rabu.

Tertuduh, Zainuddin Noh dan Norhazleyana Azreen Abdul Hamid masing-masing berusia 40 tahun, didakwa di dua mahkamah berasingan atas tiga pertuduhan membunuh dan mendera dua kanak-kanak terbabit.

Mereka didakwa secara bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian mangsa yang berusia lapan tahun di sebuah rumah di Desa Pengkalan Bandaraya Ipoh di sini pada jam 10 malam pada 13 Mei hingga 7 pagi, 14 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang juga ibu dan bapa saudara kepada kedua-dua mangsa boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Syuhada Mohd Yusof.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, pasangan suami isteri berkenaan turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap adik lelaki si mati yang berusia tujuh tahun hingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai peniaga bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan secara bersama di lokasi sama kira-kira jam 1.30 petang dan 10.30 malam pada 13 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hafizah Mohammad Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Hafizah memohon tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan dan tiada jaminan ditawarkan berikutan kedua-dua tertuduh terlebih dahulu telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mahkamah menetapkan kedua-dua kes berkenaan disebut semula pada 30 Jun ini.

Media melaporkan perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menemukan kesan kecederaan pada tubuh kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu.

Mangsa yang dikejarkan ke HRPB dengan menaiki ambulans disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi di Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian mangsa akibat ‘multiple blunt injury’.

Berdasarkan siasatan polis, kedua-dua suspek merupakan penjaga mangsa dan adik lelaki mangsa yang berusia tujuh tahun turut didera selepas terdapat beberapa kesan kecederaan lama dan baharu pada tubuhnya.