Proses pengambilalihan Chelsea hampir selesai

Chelsea
Chelsea
A
A
A

BADAN pengelola Liga Perdana Inggeris (EPL) telah meluluskan pengambilalihan Chelsea bernilai £4.25 bilion (RM23.38 bilion) oleh konsortium yang diketuai oleh pemilik bersama LA Dodgers, Todd Boehly.

EPL dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan tersebut dibuat selepas konsortium Boehly-Clearlake itu telah lulus ujian pemilik dan pengarah The Blues.

Bagaimanapun katanya, konsortium itu perlu mendapat kelulusan kerajaan Britain dalam tempoh seminggu sebelum lesen operasi Chelsea tamat pada 31 Mei.

“Majlis EPL hari ini bersetuju dengan cadangan pengambilalihan Kelab Bola Sepak Chelsea oleh Konsortium Todd Boehly/Clearlake.

“Pembelian itu bergantung kepada lesen pembelian yang dikeluarkan kerajaan (Britain) dan melengkapkan transaksi tahap akhir diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, pengambilalihan Chelsea oleh konsortium itu dilihat hampir menemui jalan buntu selepas pemilik The Blues, Roman Abramovich meminta pemilik baharu itu untuk membayar pinjaman berharga £1.5 bilion yang diberikan kepada pasukan itu sebelum ini.

Bagaimanapun, Abramovich menafikan bahawa dia telah meminta pinjaman itu untuk dibayar balik apabila kelab berkenaan dijual.

Selepas pengumuman tersebut, beberapa pihak telah menyatakan minat untuk membeli Chelsea, namun kelab itu bersetuju untuk menjual kepada konsortium pimpinan Boehly pada awal Mei.

Konsortium itu diketuai oleh Boehly tetapi Clearlake Capital, firma ekuiti persendirian California akan memiliki majoriti saham dalam Chelsea.

Kelab Liga Perdana itu sebelum ini diletakkan dalam senarai untuk dijual susulan pemiliknya, Abramovich disenarai hitam oleh kerajaan Britain selepas didakwa mempunyai kaitan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.