Sudah 2022, pengangkutan awam masih bermasalah

Isu akses, kesalinghubungan infrastruktur pengangkutan awam dan kekerapan perkhidmatan antara masalah sistem pengangkutan awam di Malaysia yang masih belum diselesaikan. - Foto Bernama
Isu akses, kesalinghubungan infrastruktur pengangkutan awam dan kekerapan perkhidmatan antara masalah sistem pengangkutan awam di Malaysia yang masih belum diselesaikan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Bas tak masuk sini, kena jalan kaki 20 hingga 25 minit nak dapat naik bas, sambil dukung anak OKU (orang kurang upaya).”

Demikian komen pengguna Facebook Djaz Anggun di laman Facebook rasmi Bernama, apabila ditanya tentang masalah dihadapi dengan pengangkutan awam.

Beliau bukan tinggal di kawasan pedalaman. Ditanya lanjut, ibu kepada anak dengan masalah cerebral palsy ini berkata, beliau tinggal di kawasan PPR Intan Baiduri di Kepong - kawasan yang sebenarnya hanya 15 minit perjalanan dari Lebuhraya Selayang-Kepong.

Jadi mengapa tiada perkhidmatan bas awam di kawasan yang begitu mudah untuk diakses, berkepadatan penduduk tinggi dengan populasi yang jelas amat memerlukannya?

Tambahan pula, umum mengetahui ramai penduduk PPR daripada golongan B40 yang sangat bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke sesuatu destinasi.

Sudah 2022, namun isu akses, kesalinghubungan infrastruktur pengangkutan awam dan kekerapan perkhidmatan antara masalah sistem pengangkutan awam di Malaysia yang masih belum diselesaikan.

Akses, kesalinghubungan masih lemah

Walaupun kerajaan tempatan sering menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai penyelesaian kesesakan jalan raya terutama di bandar-bandar utama, nasihat itu sukar dipraktikkan orang ramai.

"Teringin nak naik kenderaan awam pada waktu kerja, tapi laluannya menyusahkan dan perlu ambil bas perantara daripada rumah ke MRT atau LRT, dan menapak ke pejabat.

"Keputusan tepat bawa motor sebab parking dan minyak murah, serta lebih cepat walaupun sedar risiko tinggi. Jika bawa kereta kena fikir kos parking, minyak, tol dan jem. Jika guna basikal ke pejabat jaraknya dalam 30km, bermandi peluh di samping bahaya (kerana) di laluan highway,” kata pengguna Facebook Adhary Abd Aziz.

Rata-rata komen warganet di pautan Bernama itu menyatakan mereka sukar mendapat akses pengangkutan awam di kawasan masing-masing dan perlu mengharungi pelbagai cabaran jika ingin menggunakannya.

Pengguna Facebook, Junny Lai pula berkata, bagi yang tinggal di Kuala Lumpur, laluan bas awam tidak melitupi semua kawasan.

"Kalau pun saya menggunakan pengangkutan awam, saya masih perlu berjalan 15 ke 30 minit untuk ke destinasi atau pun menggunakan perkhidmatan Grab. Elok saya guna kereta sahaja,” komennya.

Ramai menyuarakan pendapat serupa dalam ruangan komen hantaran Bernama yang mendapat lebih 1,500 likes dan 671 komen.

Pengguna Facebook, Marina Ibrahim mencadangkan penggunaan semula bas mini sebagai bas perantara untuk menyelesaikan masalah ini.

"Perlu lebih banyak feeder bus (bas perantara), pakai bas mini pun okay. Boleh masuk ke dalam taman-taman perumahan, kampung-kampung,” katanya.

Tidak ikut jadual

Selain isu kesalinghubungan, masalah kekerapan perkhidmatan turut diutarakan ramai pengguna.

Sela masa antara ketibaan tren agak lama antara isu yang dibangkitkan pengguna KTM Komuter. - Foto Bernama
Sela masa antara ketibaan tren agak lama antara isu yang dibangkitkan pengguna KTM Komuter. - Foto Bernama

"Perkhidmatan bas perantara ke stesen MRT tidak mengikut jadual, manakala aduan kepada pihak penyedia perkhidmatan tidak dilayan,” komen Raja Mahadi Muhamed Mahmoodiah.

"Ya. Isu ketibaan bas tidak mengikut jadual. Kalau lewat saya faham. Kerap kali bas tiba awal daripada jadual (khususnya waktu pagi) hal ini menyebabkan pengguna tidak dapat merancang masa untuk ke stesen bas dengan baik,” kata pengguna Facebook Amam Amam.

Pengguna perkhidmatan KTM Komuter, Mukhlis Zulkifli pula berkata, sela masa antara ketibaan tren agak lama.

"Tak boleh ke interval tren dia tak lama sangat? Satu jam untuk bukan waktu puncak tu menyusahkan...kalau time jadual bertukar ataupun tren rosak, comms (pemakluman) kepada penumpang pun tidak konsisten,” komen beliau.

Pengguna Facebook, Faizal My menyuarakan perkara yang sama.

"Sesekali guna KTM Komuter. Jarak masa antara satu tren dan tren berikutnya agak lama. Memang wajib check jadual betul-betul, sebab kalau terlepas tren tu, memang akan rosak planning satu hari tu sebab tersidai 2-3 jam dekat stesen KTM tu. Satu lagi, projek upgrade landasan rasanya dah bertahun-tahun tak siap-siap sampailah sekarang,” katanya.

Masalah kekerapan juga mengakibatkan ramai penumpang kerugian masa dan akhirnya memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

"Rumah saya jalan kaki je ke stesen Komuter. Pernah sekali nak cuba naik Komuter ke MidValley Megamall, tengok time ketibaan tren 30 minit, patah balik ambil kereta, 15 minit dah sampai MidValley. Time is gold,” kongsi pengguna Facebook, Reedzuan AR.

Aplikasi pemantauan tidak membantu

Beberapa pengguna lain mencadangkan penggunaan sistem pemantauan secara langsung (live monitoring system) bagi kenderaan awam untuk memaklumkan penumpang sekiranya berlaku kelewatan atau masalah teknikal, selain membantu merancang perjalanan.

Beberapa pengguna mencadangkan penggunaan sistem pemantauan secara langsung (live monitoring system) bagi membantu mereka merancang perjalanan. - Foto Bernama
Beberapa pengguna mencadangkan penggunaan sistem pemantauan secara langsung (live monitoring system) bagi membantu mereka merancang perjalanan. - Foto Bernama

"Buat app untuk pengguna tahu di mana kedudukan semasa bas, dan anggaran masa untuk tiba ke arah destinasi dalam masa sebenar (macam live location di Whatsapp) jadi pengguna akan lebih selesa rancang masa untuk naik bas dalam cuaca dan trafik yang tak menentu,” komen Muhd Hasansyukri.

Pengguna Facebook, Diy Faat memberi pendapat sama: "Buat app utk semua bas awam. Jadi kita tahu bila bas akan sampai. Tak perlu menunggu lama. Faedah juga akan dirasa oleh pengusaha bas, sebab akan sentiasa ada penumpang.”

Namun menurut komen pengguna lain, syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menyediakan perkhidmatan LRT, KL Monorail, MRT dan Rapid Bus telah pun menyediakan aplikasi sedemikian yang dinamakan PULSE by Prasarana.

"Boleh tengok app PULSE bawah Prasarana. Boleh tengok lokasi bas dan ETA (anggaran waktu ketibaan),” kata Farid Fatah.

Bagaimanapun, pengguna Facebook, AWei Li WEi berkata, aplikasi itu tidak menyampaikan maklumat yang tepat tentang waktu ketibaan bas.

"Kejap 15 minit, kejap 30 minit, kejap satu jam. Akhirnya tunggu lebih sejam tetapi tak sampai-sampai,” komen beliau.

Katanya lagi, perkhidmatan bas tidak menepati masa terutamanya ketika bulan puasa dan dalam tempoh seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Memang jenuh tunggu bas sampai dua jam. Dalam app tunjuk 15 minit tapi tak ikut pun..banyak kali dah cubaan menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja atau pun ke mana-mana. Kalau kesuntukan masa, memang tak boleh percaya, tak konsisten,” katanya.

Bernama cuba beberapa kali untuk menghubungi Prasarana Malaysia Berhad mengenai permasalahan yang diutarakan pengguna namun belum mendapat sebarang maklum balas. - Bernama