Krisis bekalan ayam: Kelantan sedia tanam jagung bijian

Tanaman jagung yang diusahakan di kawasan Bachok. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
Tanaman jagung yang diusahakan di kawasan Bachok. Gambar kecil: Tuan Mohd Saripudin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersedia untuk mengusahakan tanaman jagung bijian termasuk di tanah-tanah pertanian yang terbiar di negeri ini sebagai alternatif jangka panjang kepada makanan ternakan ayam.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tanah di negeri ini sememangnya sesuai dengan tanaman itu yang terbukti mengeluarkan hasil terbaik menerusi jagung jenis manis, mutiara dan lemak.

Katanya, tanaman jagung bijian untuk makanan ternakan itu pernah dilaksanakan di Bachok empat tahun lalu namun terhenti kerana kekurangan permintaan dalam pasaran ketika itu.

“Dulu kami sudah tanam jagung bijian untuk diproses sebagai makanan ternakan haiwan termasuk ayam namun terpaksa digantikan semula dengan tanaman jagung manis, mutiara dan lemak kerana jagung bijian kurang mendapat sambutan di dalam pasaran waktu itu.

“Kini kerajaan bersedia menukarkan semula tanaman jagung sedia ada kepada tanaman jagung bijian untuk diproses menjadi makanan kepada ternakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan tanaman jagung bijian tersebut bagaimanapun menuntut jaminan daripada kerajaan terutama membabitkan subsidi baja dan racun, selain perlu dipastikan kebolehpasaran jagung bijian berkenaan.

“Kerajaan negeri dan petani sedia bekerjasama untuk pembagunan makanan ternakan yang boleh dilakukan secara besar-besaran, termasuk di tanah-tanah pertanian yang terbiar.

“Mereka memerlukan sokongan daripada kerajaan pusat menerusi insentif dan subsidi berkaitan baja serta racun kerana mereka terbeban dengan peningkatan sekali ganda harga bahan tanaman itu serta perlu dipastikan dapat dijual misalnya menerusi kontrak perjanjian dengan mana-mana pihak berkaitan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga dalam usaha meningkatkan tanaman jagung manis, mutiara dan lemak daripada sejuta tanaman kepada 10 juta pokok jagung ditanam di Jeli.

“Kelantan juga mempunyai tanaman jagung jenis-jenis tersebut di Lojing, Gua Musang, Tanah Merah dan Bachok yang boleh dijadikan makanan ternakan berdasarkan satu kajian yang dilakukan.

“Cuma, jagung tersebut perlu melalui proses pengeringan dan dihancurkan selain ditambah dengan bahan seperti soya bagi meningkatkan nutrisi untuk diberikan kepada ternakan sama seperti jagung bijian,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di Tumpat, Romli Daud, 56, menyambut baik usaha dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan bekalan ayam ada dalam pasaran di negara ini.

“Usaha ini perlu dipastikan dilakukan dengan betul dan dalam skala yang besar bagi menampung permintaan ayam dalam masyarakat sekali gus dapat mengawal bekalan dan harga bahan mentah tersebut dalam pasaran,” katanya.

Pada Isnin, Kabinet meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk penanaman jagung bagi jangka masa panjang untuk dijadikan makanan ternakan ayam.