Hasil merudum kerana bubu naga

Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia memeriksa bubu naga yang dipasang di dasar laut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia memeriksa bubu naga yang dipasang di dasar laut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penggunaan bubu naga yang tidak berkesudahan mengancam ekosistem laut khususnya benih ikan dan hidupan marin, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

Nelayan mendakwa, bubu naga yang dipasang dan dibiarkan di dasar laut sepanjang masa membolehkan pelbagai jenis hasil laut termasuk ikan, udang dan ketam tersangkut pada alatan tersebut.

Salah seorang nelayan, Azhar Sudin, 56, bagaimanapun berkata, tindakan itu turut memberi kesan terhadap ikan kecil dan benih ikan yang tidak sepatutnya ditangkap apabila ia turut terperangkap.

“Bagaimana mahu mengatasi masalah ini sebab alatan ini mudah dibeli di mana-mana kedai. Mereka pasang di dasar laut dan tinggal, setiap tiga atau empat jam, mereka kutip hasil, bubu naga akan terus dibiar untuk hasil seterusnya,” katanya.

Menurutnya, biarpun alatan itu telah dilarang penggunaannya, namun masih ada yang menggunakan disebabkan hasil pendapatan boleh mencecah empat hingga lima angka sebulan.

“Disebabkan mahu keuntungan berganda, terdapat nelayan sanggup menukar alatan menangkap ikan kepada bubu naga walaupun mengetahui berdepan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Bagi Roshidi Jaafar, 62, yang sudah berpengalaman selama 40 tahun sebagai nelayan berkata, disebabkan penggunaan bubu naga semakin mendapat perhatian, ia memberi kesan terhadap pendapatan nelayan sepertinya.

“Mereka guna bubu naga supaya boleh mengaut hasil sampai tiga kali sehari. Tidak kira siang atau malam, mereka sudah berani turun untuk kutip hasil tanpa berselindung. Ini menyebabkan hasil kami berkurang.

“Bila ikan kurang, hasil pun kurang, pendapatan kami terjejas teruk. Dulu boleh dapat RM2,000 hingga RM5,000 sebulan tetapi setelah dikaut oleh mereka yang menggunakan bubu naga, nak dapat RM600 sebulan pun susah.

“Kalau guna bubu naga, mereka boleh capai hasil sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan,” ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Abd Manaf Ismail, 55, berkata, pernah berlaku kekecohan akibat ketidakpuasan hati terhadap individu yang menggunakan bubu naga.

Menurutnya, ia disebabkan pukat milik nelayan rosak sehingga mendatangkan kerugian.

“Dulu, ada nelayan tidak puas hati sehingga membakar peralatan nelayan kerana marah mereka guna bubu naga,” katanya.

Abd Manaf turut berharap pihak berkuasa melakukan pengawasan lebih ketat agar individu yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan sewajarnya.

Bubu naga yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berikutan penggunaan alatan tersebut sudah diharamkan di negara ini.
Bubu naga yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berikutan penggunaan alatan tersebut sudah diharamkan di negara ini.

Hasil tangkapan guna bubu naga tidak dibenarkan dijual

Tindakan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda yang tidak membenarkan hasil tangkapan bubu naga diurus niaga di jeti mereka membolehkan masalah tersebut terkawal.

Pengerusi PNK Kuala Muda, Mohamad Kamal Abidin berkata, penggunaan bubu naga yang dikatakan berasal dari negara jiran semakin banyak digunakan sekitar Kedah dan Pulau Pinang pada tahun 2018 dan 2019.

Beliau yang juga seorang nelayan berkata, penggunaan alatan itu yang sudah diharamkan berikutan kemusnahan benih ikan dan mengganggu ekosistem marin, malah sama sekali tidak dipersetujui persatuan dan ahli PNK Kuala Muda.

“Kita telah menerima banyak laporan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga telah bertindak merampas peralatan itu di laut.

“Keputusan juga dicapai hasil perbincangan di mana PNK Kuala Muda tidak membenarkan nelayan yang menggunakan bubu naga mendarat di Jeti Pendaratan Ikan Pasar Bisik bagi tujuan urus niaga berkuatkuasa pada tahun 2020.

“Kita menasihatkan agar nelayan yang menggunakan bubu naga tidak mendarat di sini. Persatuan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada yang ingkar,” jelasnya.

Mohamad Kamal berkata, penggunaan bubu naga menyebabkan nelayan mendapat hasil tangkapan pelbagai spesies antaranya udang, sotong, ikan dan benih yang masih kecil.

“Cara untuk mengenal nelayan yang menggunakan bubu naga mudah sahaja, biarpun peralatan ditinggalkan di dasar laut tapi hasil yang diperoleh bercampur-campur termasuk ikan kecil dan besar.

“Hasil tangkapan juga selalunya lebih banyak, kira-kira tiga atau empat kali ganda berbanding biasa menyebabkan pendapatan mereka juga tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan satu pos kawalan laut dibina sebagai lokasi pemantauan dan membanteras kegiatan jenayah maritim di perairan negara.

Menurutnya, dengan adanya penempatan anggota penguat kuasa di pos kawalan tersebut sedikit sebanyak mampu mencegah kegiatan pencerobohan, kecurian hasil laut serta aktiviti larangan di laut.

“Sebelum ini, cadangan itu pernah disuarakan, namun, tiada perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut setakat ini,” katanya.