X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf Wajdi selesai cara baik

Asyraf Wajdi, Mujahid
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu Tabung Haji tiga tahun lalu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ia selepas Asyraf Wajdi menarik balik dan memadamkan kenyataan yang dibuat menerusi akaun Facebooknya pada 30 September 2019.

Penghakiman persetujuan itu kemudiannya direkodkan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Dalam kes ini, Mujahid diwakili peguam, Noorazmir Zakaria dan Atiqa Azmi manakala peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi serta Aimi Shazwani Yaakob bagi Asyraf Wajdi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Mujahid berharap pihak lain tidak mencetuskan kemarahan dan kebencian terhadap Asyraf Wajdi.

"Kita perlu menghormati prinsip lebih besar iaitu Islah Perdamaian Lebih Baik.

"Pilihan itu harus menjadi tanda aras, bukannya berterusan dalam kebencian dan permusuhan selamanya," kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

Beliau turut mengharapkan, semua pihak agar dapat mengikut konsep 'Rahmatan Lil Alamin' dengan mengambil keberkatan daripada Rasulullah SAW.

Sementara itu, menerusi perkongsian sama, Asyraf Wajdi berkata, Mujahid telah membuat penjelasan kepadanya, bahawa tiada pelupusan saham Lembaga Tabung Haji (TH) di dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) semasa berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

"Kami telah mencapai persefahaman bahawa perkara ini telah pun selesai.

"Memandangkan isu telah diperjelaskan dan selaras dengan perkembangan yang mana isu lain berkenaan aset-aset TH sedang di siasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), saya dengan ini menarik balik hantaran (pada 2019) itu," katanya.

Beliau berharap, hantaran atau isu pelupusan saham TH dalam TNB, tidak lagi dibangkitkan pada masa akan datang.

Pada Oktober 2019 lalu, Mujahid memberi tempoh seminggu kepada Asyraf Wajdi untuk memohon maaf secara terbuka kepada Tabung Haji (TH).

Beliau turut mendesak supaya Asyraf Wajdi menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadap TH.

Ia selepas Asyraf Wajdi mendesak Mujahid agar membuat penjelasan berhubung aset strategik TH bernilai RM2.6 bilion.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!