Sanusi ulas penghijrahan dua legenda Kenari

Muhammad Sanusi (kanan) semasa hadir ke Stadium Darul Aman untuk menyaksikan aksi Kenari baru-baru ini. FOTO KFA
Muhammad Sanusi (kanan) semasa hadir ke Stadium Darul Aman untuk menyaksikan aksi Kenari baru-baru ini. FOTO KFA
A
A
A
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan penghijrahan dua pemain legendanya ke Sabah FC adalah disebabkan oleh 'benci atau marah' kepada seorang individu di dalam pengurusan bola sepak pasukan itu.

Menurutnya, dakwaan itu sukar dibuktikan kerana pertemuan jurulatih dan pemain yang dipercayai merujuk Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sudah diadakan terlebih dahulu sebelum perpindahan berlaku.

"Orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bola sepak.

"Dua pemain yang dikatakan legenda yang telah berhijrah ke Sabah itu memang bagus permainan mereka, tetapi gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar lima orang pemain baharu yang tidak kurang hebatnya," katanya ketika dipetik melalui Facebooknya pada Selasa.

Sanusi berkata demikian dipercayai mengulas kenyataan Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagramnya pada Isnin menyatakan dua legenda Kedah meninggalkan pasukan itu disebabkan oleh seorang individu.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu berkata, dalam keadaan pasukan yang baru saja berhempas pulas menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih 20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan bola menjadi perhatian utama Sang Kenari pada musim baharu.

"Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara tetapan orang kaya di pasukan lain yang menggiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campur tangan memberikan kawasan balak dan kuari untuk membiayai bola sepak.

"Negeri Kedah akhirnya berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin di samping membantu pasukan bola sepak yang membawa nama Kedah di kancah MFL dan Piala Malaysia," ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah bukanlah pasukan super kaya yang harus tunduk kepada gaya gaji elit yang diset oleh pihak lain yang berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

Menurutnya, tetapan gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.

"Boleh lihat apa yang sedang terjadi dengan pasukan seladang, yang berjiran dengan Kedah. Banyak lagi pasukan lain juga sedang bergelut dengan isu kewangan. Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya," ujarnya.

Tambah beliau, Sabah FC berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada dua bekas pemain Kedah itu selain memilih berada di bawah kendalian jurulatih yang mereka gemari.

"Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pula," katanya lagi.