Tiket badminton Terbuka Malaysia dijual Khamis

Tiket badminton Terbuka Malaysia dijual Khamis
Tiket badminton Terbuka Malaysia dijual Khamis
A
A
A

BADMINTON Terbuka Malaysia yang tidak dianjurkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, kini kembali sebagai Petronas Terbuka Malaysia akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil dari 28 Jun hingga 3 Julai.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejohanan badminton itu yang merupakan salah satu daripada lima kejohanan Siri Super berprestij dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan menyediakan hadiah keseluruhan AS$675,000 (RM2,963,250).

“Kejohanan itu akan menarik peminat dengan memasukkan acara pembukaan khas, pemetaan unjuran dan persembahan dron pada hari terakhir.

“Akan turut diadakan karnival Festival Malaysia di kawasan terbuka dengan permainan interaktif seperti badminton udara, jualan makanan, selain persembahan kebudayaan dan artis tempatan sempena dengan kejohanan itu dari jam 3 petang sehingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan BAM itu menyatakan, karnival Festival Malaysia itu memfokuskan kepada pertunjukan budaya Malaysia, pelancongan dan sukan sebagai asas kepada festival itu bagi membanggakan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata, BAM amat berbesar hati kerana sebuah jenama global terkenal kini bersama-sama mereka, dan berterima kasih kepada Petronas atas sokongan syarikat itu kepada mereka.

Peminat boleh mula membeli tiket menerusi www.myticket.asia bermula 26 Mei bermula jam 2 petang dengan harga dari RM25 hingga RM500, manakala promosi pembeli awal tertakluk kepada 2,000 tiket pertama dijual. - Bernama