Piala Asia 2022: Speedy Tigers lepasi ranjau Korea Selatan

Antara aksi menarik perlawanan Speedy Tigers menentang Korea Selatan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno. - Foto Malaysian Hockey Confederation
Antara aksi menarik perlawanan Speedy Tigers menentang Korea Selatan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno. - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

THE Speedy Tigers meneruskan rentak kecemerlangan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia selepas menewaskan Korea Selatan 5-4 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Skuad negara bermula garang mengasak kubu pertahanan lawan sebelum menghasilkan gol pembukaan menerusi gol padang Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11.

Gol itu menyuntik semangat para pemain negara apabila menambah jaringan selepas jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim gagal dihalang penjaga gol Korea Selatan, Kim Jae-hyeon pada minit ke-17.

Korea Selatan merupakan pasukan pilihan yang tersentak dengan keadaan itu bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan pukulan sudut penalti Yang Jihun pada minit ke-25, sebelum Norsyafiq pula mencetak gol ketiga skuad negara hasil jaringan padang dua minit kemudian.

Pada suku ketiga perlawanan, Mohamad Ashran Hamsani memberikan kelegaan sementara apabila menyumbang gol keempat negara pada minit ke-32 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Jang Jonghyun menambah jaringan Korea Selatan menerusi pukulan penalti selang dua minit kemudian.

Pihak lawan kembali mengejar apabila Kim Sungyhun menghasilkan gol padang pada minit ke-40, sebelum Muhammad Razie menjadikan kedudukan 5-3 berpihak kepada negara selepas jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Korea Selatan terus memberikan tentangan sengit namun hanya berhasil menyumbat satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti Jihun ketika perlawanan berbaki empat minit.

Malaysia akan meneruskan cabaran bertemu Bangladesh, Khamis ini. - BERNAMA