JKKP keluar 90 notis larangan

Pegawai JKKP sedang memeriksa salah satu tapak pembinaan dalam operasi Cegah Jatuh dan Runtuh.
Pegawai JKKP sedang memeriksa salah satu tapak pembinaan dalam operasi Cegah Jatuh dan Runtuh.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu mengeluarkan 90 notis larangan serta-merta untuk menyita dan menghentikan pelbagai aktiviti yang berisiko tinggi di dalam tapak kepada kontraktor dalam operasi Cegah Jatuh dan Runtuh.

Selain notis larangan, jabatan itu turut mengeluarkan 11 notis penambahbaikan dan 62 surat arahan kepada kontraktor yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Pengarah JKKP Terengganu, Mohd Zahari Hitam berkata, semua notis itu dikeluarkan dalam operasi Cegah Jatuh dan Runtuh yang diadakan secara mengejut di 30 tapak pembinaan di seluruh negeri selama sebulan bermula 25 Februari hingga 25 Mac lalu.

“Melalui operasi ini juga, 35 kompaun dan lima kes mahkamah juga akan dikenakan kepada kontraktor yang menjalankan pembinaan di atas pelbagai kesalahan dan perlanggaran undang-undang,” katanya pada Majlis Penutup Operasi Tapak Bina JKKP Terengganu di Wisma Perkeso, di sini hari ini.

Menurut Mohd Zahari, operasi pertama untuk tahun ini itu lebih menumpukan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit.

No Image Caption

Beliau berkata, ia juga diadakan bagi memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 selain meninjau keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kontraktor dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan.

“Pada tahun ini kita merekodkan satu kemalangan di tapak bina iaitu di Kemaman dengan mangsa mengalami kecederaan manakala pada tahun lepas, terdapat tiga kes kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan di Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta kontraktor dan mana-mana pihak berkepentingan dalam industri pembinaan mengamalkan pengurusan dan kesihatan di tempat kerja bermula di peringkat perancangan iaitu sebelum pembinaan dimulakan selaras dengan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017.

Ia penting bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih selamat dan kondusif di tapak pembinaan.

Mohd Zahari berkata, pada tahun lepas tujuh kes pendakwaan ke atas kontraktor telah dilakukan di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM39,000 dan 42 kompaun berjumlah RM55,000 turut dikenakan terhadap kontraktor atas pelbagai kesalahan dan perlanggaran undang-undang di tapak binaan.

“Kita serius dalam memastikan undang-undang di bawah akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi dan operasi seumpama ini akan diteruskan pada bulan Julai dan Oktober nanti,” katanya.