Larangan eksport ayam tidak beri impak ketara kepada penggiat industri

Penggiat industri masih dijangka mendapat manfaat daripada pasaran tempatan. - Foto Bernama
Penggiat industri masih dijangka mendapat manfaat daripada pasaran tempatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Larangan eksport ayam terhadap penggiat industri dilihat tidak memberi impak yang ketara berikutan eksport hanya menyumbang peratusan kecil daripada jualan mereka, menurut ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Dr Geoffrey Williams berkata, walaupun negara akan berhenti mengeksport sehingga 3.6 juta ekor ayam sebulan mulai 1 Jun untuk menstabilkan harga dan pengeluaran ayam, penggiat industri masih dijangka mendapat manfaat daripada pasaran tempatan, yang menghadapi masalah kekurangan yang berterusan.

Bagaimanapun, katanya, pengeksport akan kehilangan bahagian pasaran dan pendapatan. Oleh itu, beliau mencadangkan skim pampasan untuk mereka jika skim tersebut belum wujud.

"Stok suapan mereka boleh disubsidi atau mereka boleh diberi konsesi cukai.

"(Bagaimanapun,) perniagaan mereka akan bertahan. Mereka hanya perlu menghadapi tempoh sukar ini sehingga keadaan menjadi reda. Dalam tempoh jangka panjang, mereka boleh melihat untuk mempunyai model perniagaan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kabinet untuk melarang eksport ayam berikutan aduan pengguna mengenai kekurangan dan harga ayam yang tinggi.

Williams, yang juga provost MUST untuk penyelidikan dan inovasi, menyifatkan larangan eksport itu sebagai penyelesaian jangka pendek yang baik untuk kekurangan, yang semakin meruncing.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu bukan penyelesaian jangka panjang berikutan had harga akhirnya akan menjadikan lebih sukar untuk mendapatkan wang daripada perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan melakukan perkara yang betul untuk menstabilkan pasaran dengan memansuhkan keperluan permit yang diluluskan untuk mengimport ayam, termasuk keseluruhan ayam dan bahagian ayam serta menyiasat dakwaan bahawa kartel mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat yang lebih besar.

Sementara itu, antara penggiat ternakan ayam terbesar di Malaysia, yang pada masa ini mengeksport ayam ke Brunei, menjangka jualan bulanan akan lebih rendah sekitar RM500,000.

"Kami menghantar 50 tan untuk keseluruhan ayam secara berterusan ke Brunei pada setiap bulan. Oleh itu, syarikat akan mencatatkan pendapatan yang lebih rendah berikutan larangan eksport itu,” kata jurucakapnya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, syarikat kini memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, yang mewakili 98 peratus daripada jumlah jualan.

"Sebelum ini, kami menjual 20,000 ekor ayam setiap hari dan jumlahnya berkurangan 20 peratus dalam tempoh kekurangan tersebut.

"Oleh itu, kami kini memberi tumpuan kepada permintaan tempatan, terutamanya di pasar raya runcit,” katanya sambil menambah ia mencatatkan jualan RM13 juta sebulan sebelum kekurangan itu.

Selain itu, katanya, syarikat masih menunggu Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk melaksanakan mekanisme larangan eksport itu.

Sementara itu, Pengurus Jualan Farm's Best Food Industries Sdn Bhd, Lee Kuan Loong berkata, syarikat mengeksport kira-kira 10,000 ekor ayam kepada syarikat sekutunya di Singapura sekali pada setiap dua bulan, yang boleh menjana kira-kira RM30,000.

Katanya, susulan isu kekurangan itu, syarikat mengalami kerugian kira-kira 50 hingga 60 peratus baru-baru ini dan larangan eksport itu dijangka turut menyebabkan pendapatan lebih rendah.

"Kami mengeksport lima peratus daripada produk kami ke Singapura selain mempunyai kedudukan yang kukuh di Malaysia.

"Keputusan kerajaan itu dijangka menyebabkan gangguan sementara kepada bekalan ayam di Singapura,” katanya. - Bernama