UUM bantu siasatan kematian pelajar

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Haim Hilman
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Haim Hilman
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung kematian seorang pelajar di universiti tersebut pada Sabtu.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, universiti itu sentiasa melaksanakan sikap terbuka tanpa menyembunyikan sebarang fakta mengenai kejadian ini.

"Enam pegawai Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa menjalankan siasatan di tempat kejadian membabitkan kematian pelajar itu.

"UUM akan terus membantu dalam siasatan kes kematian pelajar tersebut kerana beliau adalah sebahagian daripada keluarga besar universiti ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, masyarakat di luar diminta untuk bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Pada Selasa, media melaporkan punca kematian pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM di Sintok masih belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat pelajar tersebut dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Beliau mengesahkan menerima laporan kematian R Vinosiny, 21 dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.