Anak kecil juga perlu tahu apa itu rasuah

Normah Hanum
Normah Hanum
A
A
A

IPOH - Pendidikan mengenai bahaya rasuah seharusnya diberi pendedahan kepada anak-anak bermula dari rumah lagi.

Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, pendidikan daripada ibu bapa adalah contoh terbaik kepada mereka dalam membentuk sahsiah diri.

Menurutnya, keadaan yang berlaku ketika ini, ramai ibu bapa mendidik anak-anak mengenai sikap saling menghormati, kasih sayang dan kebersihan, tetapi lupa menasihati agar menghindar diri daripada sebarang bentuk rasuah.

"Rasuah ini satu daripadanya adalah mengenai menghindar, ia bukan satu benda yang kita nampak, ia satu perkara yang kita tidak mahu terjadi kepada keluarga kita.

"Jadi ibu bapa kenalah selalu cakap dengan anak, apa itu rasuah, terangkan dalam bentuk mudah kerana ia kemungkinan terjadi dalam rutin harian mereka sendiri tanpa disedari.

Normah Hanum turut mengupas isu rasuah ketika menjadi tetamu dalam Kafe Rasuah Busters on the go sempena Konvoi #RasuahBusters ke Perak di Kandu Resort dekat Gopeng pada Selasa.
Normah Hanum turut mengupas isu rasuah ketika menjadi tetamu dalam Kafe Rasuah Busters on the go sempena Konvoi #RasuahBusters ke Perak di Kandu Resort dekat Gopeng pada Selasa.

"Seperti perbualan kalangan adik-beradik yang mahukan sesuatu, namun dalam masa sama ada antara mereka mengharapkan ganjaran seperti duit upah, itu juga boleh dikatakan satu bentuk rasuah," katanya selepas menjadi tetamu dalam Kafe Rasuah Busters on the go sempena Konvoi #RasuahBusters ke Perak di Kandu Resort dekat Gopeng pada Selasa.

Beliau yang menaungi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak berkata, perkataan dan perilaku rasuah pada masa kini, bukan lagi sesuatu baharu kalangan anak-anak, namun malangnya ia tidak diterangkan secara jelas menyebabkan semakin menjadi tabiat.

Perkara itu katanya, jika tidak dibendung akan menjadi gelombang lebih besar seperti yang berlaku ketika ini yang banyak melibatkan budaya kerja tidak sihat.

"Isu memerangi rasuah memang bermula daripada didikan, dari situ timbul kesedaran dan membawa kepada budaya menghindar.

"Sebaik-baik pendidikan sudah tentulah bermula dari rumah dengan ibu bapa mainkan peranan kepada anak-anak," katanya.