HFMD: 419 dimasukkan ke wad di Selangor

Siti Mariah (tengah) ditemui pada sesi Taklimat Program Saring Selangor dan Hi-Tea Bersama Media di Hotel Wyndham Acmar pada Selasa.
Siti Mariah (tengah) ditemui pada sesi Taklimat Program Saring Selangor dan Hi-Tea Bersama Media di Hotel Wyndham Acmar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 13, 262 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan, dengan sebanyak 419 kes dimasukkan ke wad setakat 21 Mei di Selangor.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daerah Petaling menyumbang jumlah kes terbesar berbanding daerah-daerah lain iaitu 4, 155 kes.

"Ia diikuti oleh Hulu Langat (2, 608), Gombak (2, 112), Kuala Selangor (1, 277), Klang (1, 122), Kuala Langat (732), Sabak Bernam (485), Hulu Selangor (407) dan Sepang (364)," katanya pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang ditemui pada sesi Taklimat Program Saring Selangor dan Hi-Tea Bersama Media di Hotel Wyndham Acmar di Klang di sini.

Pada masa sama, menurut Siti Mariah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) giat melaksanakan tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi menangani penyakit HFMD di negeri itu.

Katanya, JKNS dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan pra-sekolah di Selangor bermula sejak 27 April lalu.

"Sesi dibuat dalam bentuk sesi townhall, webinar, taklimat dan tunjuk cara dan penilaian risiko terutama berkaitan proses disinfeksi", katanya lagi.

Tambahnya, bagi setiap kejadian wabak, siasatan menyeluruh termasuk Penilaian Risiko dan Pendidikan Kesihatan bersasar di tadika atau taska berkaitan akan dijalankan pegawai-pegawai PKD.