X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tokoh guru bangga terima anugerah daripada bekas pelajar

Penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka 2022 (dari kiri) Husin Chek, Nubah Aton dan Jamil Jaamat menunjukkan plak anugerah yang diterima mereka pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Teruja dan bangga. Itulah perasaan seorang bekas pendidik, Husin Chek, 65, apabila bekas pelajarnya, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sendiri menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepadanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini pada Selasa.

Husin, yang berkhidmat sebagai guru selama 38 tahun berkata beliau pernah mengajar Sulaiman subjek Sains ketika beliau bersekolah di Sekolah Menengah Vokasional Alor Gajah selama dua tahun dari tahun 1983.

Anak kelahiran Kampung Rumbia, Alor Gajah itu berkata, ucapan terima kasih yang diucapkan Sulaiman ketika menyampaikan anugerah berkenaan merupakan suatu momen indah yang akan dikenang sehingga ke akhir hayatnya.

"Siapa sangka pelajar yang pernah saya didik dulu hari ini sampaikan anugerah kepada saya. Memang beliau bukan seorang sahaja pelajar saya yang berjaya tetapi ia kenangan yang indah buat saya," katanya yang kini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menerusi pertubuhan Kasih Asnaf Foodbank.

Husin merupakan salah seorang daripada tiga Tokoh Guru Negeri Melaka 2022 yang menerima anugerah berkenaan selain Jamil Jaamat dan Nubah Aton.

Ketiga-tiga tokoh itu masing-masing menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000.

Husin berkata, selepas bersara pada 2015, beliau meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat menerusi gerakan bank makanan yang diasaskannya itu dalam usaha membantu golongan asnaf dan yang memerlukan untuk mendapatkan barangan keperluan terutama mereka yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19 sebelum ini.

"Saya mempunyai latar belakang dalam bidang kaunseling, jadi perasaan ingin membantu orang yang memerlukan memang sentiasa ada. Jadi saya libatkan diri dengan aktiviti bantuan untuk merealisasikan hasrat ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi tokoh berkenaan, Jamil, 68, berkata, pengalaman menjadi guru di beberapa sekolah di kawasan pedalaman merupakan cabaran amat berharga yang membentuknya menjadi seorang pendidik berjiwa kental dan sabar dalam mengharungi pelbagai onak dan liku selama 39 tahun bergelar seorang guru.

Anak kelahiran Limbongan di sini berkata, tugas seorang guru adalah amanah paling berat yang perlu digalas sepenuh jiwa dan raga selain ikhlas dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mereka.

"Orang akan lihat kejayaan seorang guru berdasarkan kejayaan anak murid mereka tidak kira bidang apa yang mereka ceburi," katanya yang pernah menjawat jawatan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Haji Abdul Malek dari 2006 hingga 2015.

Mengulas penganugerahan yang diterimanya sebagai Tokoh Guru 2022, beliau berkata ia merupakan satu penghargaan yang sangat berharga buat dirinya yang pernah bergelar sebagai pendidik dan kenangan itu tidak akan dilupakannya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!