Lebih 6,000 gelandangan daftar masuk ke Anjung Singgah di seluruh negara

Hannah Yeoh - Foto Bernama
Hannah Yeoh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 6,936 gelandangan telah mendaftar masuk secara sukarela ke lima buah fasiliti Anjung Singgah di seluruh negara sejak ditubuhkan pada 2011, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Anjung Singgah merupakan pusat khidmat bantuan sosial yang ditubuhkan sebagai tempat perlindungan sementara bagi golongan itu yang tidak memiliki tempat tinggal dan pekerjaan tetap.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata daripada jumlah itu seramai 5,022 orang telah mendapat padanan kerjaya.

"Penekanan dalam aspek kaunseling, bimbingan dan motivasi dilaksanakan kepada penghuni bagi meningkatkan daya tahan dan daya juang dalam mengharungi cabaran kehidupan serta memangkin perubahan sikap dan tingkah laku," katanya.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung usaha kementerian dalam menangani dan memberi bantuan kepada gelandangan.

Dalam pada itu, Yeoh berkata sebanyak 799 gelandangan direkodkan di sekitar ibu negara setakat tahun lepas.

"Fokus kita adalah untuk memberi mereka kerjaya, dan dari Januari hingga Mac tahun ini di Anjung Singgah Kuala Lumpur, 67 orang telah didaftar masuk dan 38 orang mendapat padanan kerja, iaitu peratus kejayaan ialah 56.72 peratus," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah gelandangan dan cerita kejayaan hasil program membantu golongan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: