Sila log masuk terlebih dahulu.

[VIDEO] Hawana 2022 kembalikan sifat asal wartawan

Hussamuddin dalam program Malaysia Petang Ini yang bertajuk Hawana 2022: Platform Perkukuh Ekosistem Kewartawanan yang disiarkan di platform BernamaTV pada Selasa.
Hussamuddin dalam program Malaysia Petang Ini yang bertajuk Hawana 2022: Platform Perkukuh Ekosistem Kewartawanan yang disiarkan di platform BernamaTV pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang bakal berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini adalah untuk mengembalikan sifat asal kewartawanan iaitu profesional, bermaruah, berwibawa dan berintegriti dalam menjalankan tugas.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia kerana akhir-akhir ini, dunia kewartawanan menjadi musnah, hilang kredibiliti kerana dibayar untuk membuat sesuatu berita.

“Saya rasa, kita kena bawa balik kredibiliti dan kepercayaan orang kepada dunia wartawan ini. Kita tengok, dalam masa 10 tahun terakhir, dunia ini sudah dilacurkan. Orang hilang kredibiliti, wartawan di bayar dan ada wartawan upahan.

“Jadi, dengan adanya (Hawana) hari ini, kita kembali untuk memberi nilai yang sebenarnya yang patut ada kepada wartawan. Maknanya wartawan mesti ada tanggungjawab untuk memastikan apa sahaja yang ditulis mesti melalui proses dan fikir kesannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini yang bertajuk Hawana 2022: Platform Perkukuh Ekosistem Kewartawanan yang disiarkan di platform BernamaTV pada Selasa.

Penganjuran Hawana 2022 di Melaka yang bakal dirasmikan oleh Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membabitkan beberapa pengisian antaranya Konvensyen Media Nasional dan Malam Gala selain malam perasmian.

No Image Caption

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, wartawan seharusnya mempunyai sifat kebertanggungjawaban dalam diri dengan melaporkan berita secara telus.

Artikel Berkaitan:

“Majoriti kita Islam dan negara diuruskan oleh Islam. Nilai orang Islam mesti ada dalam setiap wartawan. Dalam penulisan, ia bukan sahaja bagi membantu masyarakat dan pemimpin, tetapi kerja yang dilakukan mesti berlandaskan agama,” jelasnya.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada kerajaan yang kini semakin membuka mata terhadap industri kewartawanan tersebut.

“Selama ini orang rasa kita ini askar upahan. Sekarang, zaman askar upahan sudah habis. Marilah kita wartawan bersama-sama menggunakan keistimewaan yang diberikan ini.

“Kita kena bawa kebaikan kepada seluruh umat manusia. Wartawan kena banyak membaca. Orang islam pula, kena baca Al-Quran terlebih dahulu kerana ia akan menjadikan penulisan di landasan yang benar. Kita juga tidak salah dan jadi penyumbang besar untuk selamatkan negara dengan kerosakan,” ujarnya.