X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Lelaki OKU hilang 12 hari ditemui mati di tepi sungai

Anggota Unit Forensik PDRM mengangkat mayat Abdul Hadi Ismail, 37, yang dilaporkan hilang pada 13 Mei lepas, selepas ditemukan di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Misteri kehilangan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) 12 hari lalu akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui berhampiran sungai di Kampung Tanjung Aur, Telemong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mayat mangsa, Abdul Hadi Ismail, 37, ditemui pada jam 9.30 pagi oleh seorang pencari buluh lemang pada jarak kira-kira 15 meter berhampiran sungai berkenaan.

"Pada awalnya saksi telah terjumpa sebuah motosikal Honda Wave Repsol berwarna oren kira-kira 30 meter dari mayat.

"Saksi kemudian ternampak mayat lelaki lengkap berpakaian berada dalam hutan tidak jauh dari tebing sungai.

"Saksi tidak mengenali mayat tersebut dan bergegas memaklumkan penemuan itu kepada seorang penduduk kampung serta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan lengkap berpakaian selain turut dijumpai dua batang tongkat berhampiran mangsa yang kehilangan kaki kanan kerana kemalangan.

Katanya, siasatan awal mendapati sebahagian tangan kiri mangsa disyaki telah dimakan oleh binatang liar.

"Siasatan awal oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mendapati tiada unsur-unsur jenayah.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.

Pada 14 Mei lalu, isteri mangsa, Noorizzaty Shakira Zaid, 32 yang hamil enam bulan membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Bukit Payong, Marang.

Mangsa yang beralamat di Kampung Tasek, Jalan Titian Haji Abas, di Marang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

Mangsa memakai kemeja-T berwarna kelabu, berkain pelikat merah serta memakai kopiah hitam sebelum menaiki motosikal jenis Honda Dash kira-kira jam 12 tengah hari ketika keluar rumah pada 13 Mei lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!