X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Ekonomi Malaysia berada pada hala tuju betul, inflasi masih rendah

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia menuju ke arah hala tuju yang betul meskipun persekitaran yang mencabar terutamanya dengan jangkaan peningkatan kadar inflasi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 5.0 peratus pada suku pertama 2022, yang melebihi jangkaan, kadar inflasi dijangka kekal rendah.

"Kita telah meningkatkan subsidi bagi petrol, sebahagian daripada makanan dan barangan keperluan. Oleh itu, ia telah membantu inflasi kekal rendah bagi Malaysia. Bulan lepas Malaysia merekodkan inflasi pada 2.2 peratus... Jadi ia masih baik.

"Apa yang perlu kita fokuskan sekarang adalah melaksanakan subsidi lebih bersasar. Saya tidak fikir kita boleh laksanakan subsidi yang ditujukan untuk semua orang, tetapi hanya bagi kumpulan rentan, yang saya fikir mereka masih memerlukan kita,” katanya menerusi temu bual di CNBC pada Selasa.

Temu bual itu diadakan bersempena dengan kehadiran beliau pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, bermula 22-26 Mei.

Tengku Zafrul berkata, kadar pengangguran Malaysia yang meningkat kepada 5.3 peratus (pada Mei 2020), turun kepada 4.1 peratus bulan lepas.

Menurutnya, Malaysia berdepan pelbagai cabaran di rantau ini termasuk geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan serta sekatan pergerakan menyeluruh untuk membendung Covid-19 yang dilaksanakan China, rakan dagang terbesar negara.

"Bagaimanapun, memandangkan Malaysia merupakan pengeksport bersih, ia akan membolehkan kita menampung impak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan dasar pengembangan fiskalnya dengan hasil tambahan yang diterima (sebagai pengeksport bersih komoditi) untuk meringankan kesan terhadap kumpulan rentan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!