Koperasi digesa bantu kerajaan perbanyak bekalan makanan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar Noh berucap sempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 2021-2025 dan Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara, pada Selasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar Noh berucap sempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 2021-2025 dan Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian digesa membantu usaha kerajaan memperbanyakkan bekalan makanan seperti ayam dan daging.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya juga mengharapkan tanah-tanah kementerian, koperasi dan agensi kerajaan digunakan untuk menanam makanan haiwan seperti jagung.

“Diharap koperasi akan tampil ke hadapan untuk sama-sama memainkan peranan mengurangkan harga bekalan makanan keperluan di negara kita ini,” katanya semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 2021-2025 dan Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara di sini, pada Selasa.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menjadikan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) sebagai alternatif kepada makanan ayam untuk langkah masa panjang mengawal isu harga dan bekalan bahan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kabinet bersetuju untuk meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

Noh kemudian dalam sidang akhbar menjelaskan, pihaknya menggalakkan supaya koperasi terlibat dalam pembuatan bahan makanan ternakan seperti ayam.

“Sebagai contoh ada satu Koperasi Felcra di Terengganu. Koperasi ini sudah mempunyai kilang tetapi proses pembuatan makanan ini adalah untuk ruminan iaitu kambing dan lembu,” katanya.

Noh berkata, satu federasi pertanian juga telah ditubuhkan di bawah SKM agar dapat memainkan peranan untuk membantu dan menggalakkan koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian.

Dalam pada itu, Noh melahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri dan kabinet kerana bersetuju membenarkan koperasi yang terlibat dalam sektor perladangan memohon pekerja asing pada Isnin.

“Ada lebih 20 koperasi terlibat dalam sektor perladangan yang mempunyai lebih 1,000 hektar (tanah) seluruh negara mereka menghadapi masalah buruh asing.

“Oleh kerana peraturan sekarang ini, Kementerian Sumber Manusia akan membuat rujukan syarikat-syarikat yang memohon pekerja asing di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Tetapi koperasi tidak berdaftar di bawah SSM. Koperasi berdaftar di bawah SKM dan dalam kabinet semalam telah bersetuju bahawa koperasi-koperasi yang terlibat dalam perladangan juga boleh memohon pekerja asing dan pengesahan wujudnya koperasi ini akan dirujuk kepada SKM,” katanya.