Masalah bekalan elektrik punca gangguan LRT Kelana Jaya

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan sementara perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi Selasa berpunca daripada masalah bekalan kuasa elektrik di dua ‘Traction Power Sub Station’ (TPSS) di Stesen Taman Jaya dan Stesen Universiti.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, bekalan kuasa terputus pada 8.36 pagi sekali gus menyebabkan perkhidmatan tren mengarah ke Putra Heights di Stesen Taman Jaya terhenti sementara, sebelum bekalan kuasa dapat dikembalikan pada jam 8.48 pagi.

Rapid Rail yang juga operator perkhidmatan berkenaan turut memaklumkan siasatan awal menunjukkan insiden berlaku selepas terdapat masalah pada pemutus litar ‘circuit breaker’ menyebabkan bekalan elektrik terputus dan tren kehilangan kuasa untuk bergerak.

"Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan dihadapi pelanggan khususnya mereka yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja pada masa itu,” katanya. - Bernama