RM1.3 juta tampung isu tunggakan gaji Persatuan Bola Sepak PDRM

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa beliau mendahulukan RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menampung tunggakan gaji kakitangan dan pemain sebanyak empat bulan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh menantunya, Datuk Zul Hisham Zainal yang juga saksi pendakwaan ke-19, bahawa persatuan bola sepak itu berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan kewangan.

Menurutnya, persatuan tersebut mempunyai tanggungan seramai 30 pemain tempatan sepenuh masa dan 15 lagi dalam kumpulan pengurusan.

“Empat bulan gaji tidak dibayar, ia menyebabkan pemain dan kakitangan tidak mampu untuk menguruskan perbelanjaan peribadi sedangkan mereka mempunyai tanggungan seperti sewa rumah, kereta, nafkah dan keperluan lain.

“Selain itu, saya juga menyatakan berdasarkan keterangan Zul Hisham, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membayar semula pendahuluan yang saya berikan sebanyak RM1 juta kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co pada 14 Julai 2017,” katanya.

Presiden UMNO itu percaya bahawa, ia sesuai dengan objektif penubuhan Yayasan Akalbudi kerana yayasan itu ditubuhkan untuk membantu kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid menafikan beliau melakukan kesalahan pecah amanah terhadap dana RM10 juta milik Yayasan Akalbudi kerana memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Sebaliknya beliau berkata, wang itu dikeluarkan untuk pelaburan memandangkan Armada Holdings memerlukan modal bagi memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Dalam prosiding pagi Selasa, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, meskipun dana RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dimasukkan ke akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co, ia tetap menjadi kepunyaan yayasan berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa, wang itu dikreditkan kepada akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co dan masih menjadi milik Yayasan Akalbudi, bukannya milik kepunyaan Yayasan AlFalah atau Tetuan Lewis & Co.

Menurutnya, pemindahan dana milik Yayasan Akalbudi terpaksa dibuat kerana bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang diamanahkan menjaga urusan akaun peribadi dan yayasan itu didapati kerap melakukan kecuaian.

“Saya buat keputusan untuk pindahkan dana itu, bukan untuk pecah amanah tetapi menggunakan sebuah syarikat guaman yang mempunyai pegawai yang berketrampilan untuk menjaga akaun pelanggan,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah bersambung pada Rabu.