LIMA19: 40 kapal canggih berkampung di perairan Langkawi

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menaiki pesawat 623 Typhoons ketika melawat pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menaiki pesawat 623 Typhoons ketika melawat pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Perbarisan 40 kapal tempatan dan antarabangsa sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di perairan pulau pelancongan ini begitu memukau dan menarik perhatian delegasi pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dan delegasi dibawa menaiki KD Perantau, milik Tentera Laut Diraja Malaysia selama sejam setengah sambil menerima tabik hormat daripada kru kesemua kapal tersebut di sekitar Resorts World Langkawi di sini pada pameran yang memasuki hari kedua hari ini.

Antara barisan delegasi kerajaan persekutuan dan negeri adalah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kesemua mereka diberi penghormatan melihat sendiri kehebatan dan kecanggihan kapal-kapal tersebut antaranya adalah 17 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, lima kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), MV Polaris dari Jabatan Marin, RV Discovery dari Universiti Malaysia Terengganu dan 16 kapal dari 12 buah negara yang terlibat dalam acara ini.

Pada edisi ke-15 ini menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan. - Bernama