Kartel ayam: Keputusan cadangan di bawah Seksyen 36

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dijangka mengeluarkan keputusan cadangan di bawah Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 berhubung dakwaan kewujudan kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas kuat.

"Pihak yang disiasat kemudiannya akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum suruhanjaya membuat keputusan muktamad," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pada masa ini MyCC sedang menyiasat dakwaan terdapat pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

"Dalam hal ini, pihak MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, aktiviti penyiasatan tersebut dijangka tamat pada akhir Jun 2022.

"Penemuan penyiasatan ini akan dibentangkan kepada anggota-anggota suruhanjaya yang bertindak sebagai sebuah badan separa kehakiman dan mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4," katanya.

Alexander berkata, pihak yang disiasat itu akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum Suruhanjaya membuat keputusan muktamad.

"Jika mereka didapati melanggar Seksyen itu, mereka boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus dari jualan produk atau perkhidmatan mereka selama mana pelanggaran itu berlaku," katanya.